
KUALA LUMPUR, 3 NOV 25 — Ketua Bersatu Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mempersoalkan sama ada masa depan parti yang diasaskan untuk menggantikan Umno sebagai parti Melayu semakin pudar.
Dalam hantaran media sosial X miliknya di @RahimRTC, Rahim turut mengepilkan gambar surat 16 ahli Parlimen Bersatu kepada Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membantah tindakan disiplin terhadap segelintir pihak dalam parti.
Rahim juga berkata surat itu mendedahkan sokongan sebahagian besar ahli Parlimen Bersatu terhadap Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
“(Seramai) 19 dari 25 Ahli Parlimen Bersatu menyokong Hamzah Zainuddin… Masa depan Bersatu semakin pudar jika tiada perubahan kepimpinan?,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan 16 ahli Parlimen tersebut menyatakan rasa khuatir rakyat melihat Bersatu sebagai parti yang lemah di mata rakyat disebabkan perpecahan yang berlaku.
Mereka beranggapan polemik dalaman Bersatu itu berpunca daripada sikap ego pemimpin.
Antara ahli Parlimen yang menandatangani surat termasuklah Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Datuk Khlir Mohd Noh (Ketereh); Muhammad Islahuddin Abbas (Mersing); Fathul Huzir Ayob (Gerik); Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); dan Abdul Khalid Abdullah (Rompin).
Turut serta menandatangani surat berkenaan adalah Komander Nordin Ahmad Ismail (Larut); Ikhmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Zakri Hasan (Kangar); Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Muslimin Yahya (Sungai Besar); Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu); Azahari Hasan (Padang Rengas); Kalam Salan (Sabak Bernam); dan Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok).
Surat itu diserahkan kepada Muhyiddin pada 27 Okt oleh Saifuddin mewakili kumpulan tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.