
KUALA LUMPUR, 27 Jun 25 – Penganugerahan gelaran Tan Sri kepada Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan terbukti bukan petanda beliau akan dilantik Ketua Polis Negara, (KPN) baharu kata wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin.
Sebaliknya, boleh jadi gelaran itu diberi kepada Ayob sebagai penghargaan atas sumbangan khidmat baktinya selama ini dalam pasukan keselamatan polis.
“Kepada banyak orang, apabila beliau dianugerahkan gelaran Tan Sri, sahlah beliau akan dinaikkan pangkat menjadi KPN, tetapi saya kata, tidak semestinya.
“Gelaran Tan Sri itu mungkin sebagai hadiah perpisahan dan ucapan ‘thank you’,” kata Kadir, dalam hantaran Facebook.
Tambahnya, disebalik pelantikan Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebagai KPN baharu, seperti diumumkan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, minggu lalu, perbahasan hangat berkenaan Ayob yang tidak dinaikkan ke jawatan itu.
“Kalau ikut berita media arus perdana dan perbualan media sosial yang saya baca, Ayob Khan ini boleh dikatakan berstatus “legend” (legendary).
“Banyak orang mahu beliau jadi KPN dan sangat yakin beliau akan dinaikkan ke jawatan itu, apatah lagi apabila beliau dianugerahkan gelaran Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 2 Jun lalu,” kata Kadir.
Namun,katanya, zaman pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim penuh dengan kejutan.
Sejarah juga menunjukkan tidak semua timbalan KPN menjadi KPN.
“Apatah lagi dalam zaman Kerajaan Malaysia Madani yang penuh kejutan ini. Lihatlah pelantikan Ketua Setiausaha Negara (KSN).
“Orang ramai di luar mudahlah cakap. Mereka tidak ada kepentingan selain mengharapkan yang terbaik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan, daripada sudut pandang mereka, Ayob Khan adalah yang terbaik.
“Tetapi, orang di dalam yang ada kuasa, ada kepentingan dan ada masalah dengan undang-undang dan ada kartel tentulah mahu orang mereka sendiri atau orang yang pada hemat mereka boleh melindungi kepentingan mereka.
“Boleh jadi Ayob Khan ini dilihat sebagai terlalu tegas dan susah untuk bertolak ansur. Lagipun, dengan status ‘urban legend’ di kalangan wartawan dan penggiat media sosial, beliau dikhuatiri terlalu popular dan berpengaruh,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.