
KUALA LUMPUR, 23 Jun 25 – Ketua Pembangkang menggesa kerajaan menguatkan kerjasama dengan negara-negara yang mempunyai pendirian yang sama untuk menangani campur tangan Amerika Syarikat (AS) terhadap peperangan Iran-Israel.
Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN juga menuntut kerajaan agar lebih tegas dan lantang menyatakan pendirian dengan mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersidang bagi menghentikan tindakan Israel dan AS di samping menegakkan undang-undang antarabangsa.
“Israel bertindak sebagai pengganas dengan melakukan genosid ke atas Palestin, kemudiannya menyerang Iran.
“Manakala tindakan AS menyerang beberapa lokasi strategik Iran malam tadi, mengeruh dan menyemarakkan lagi ketegangan di Asia Barat serta berisiko menjadi tidak terkawal.
“Tindakan ketenteraan unilateral oleh mana-mana kuasa besar dunia, termasuk AS, bukan sahaja menyalahi prinsip undang-undang antarabangsa, tetapi juga mengheret rantau Asia Barat ke arah konflik berskala besar yang mengancam keselamatan jutaan nyawa, termasuk rakyat awam tidak berdosa,” kata Hamzah dalam satu kenyataan.
PN juga katanya mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran.
Dalam keadaan sekarang, Iran mempunyai sepenuhnya hak untuk bertindak balas dan mempertahankan diri daripada keganasan mana-mana negara, katanya.
Beberapa hari lalu, Tentera Udara Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi strategik di Iran, termasuk kemudahan nuklear, pangkalan peluru berpandu dan pusat kawalan tentera.
Namun, beberapa hari selepas itu, Trump menyatakan bahawa tentera AS telah melancarkan serangan ke atas tiga tapak nuklear Iran, termasuk kemudahan pengayaan uranium bawah tanah di Fordow. @politiko.my