
KUALA LUMPUR, 19 Sept 2025 – Parti Gerakan mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP telah menyimpang jauh daripada prinsip asal Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), apabila menjadikan rakyat sebagai sumber kewangan utama untuk menampung kelemahan pengurusan negeri.
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata pentadbiran Ketua Menteri Chow Kon Yeow bertindak tidak bertanggungjawab apabila menaikkan pelbagai cukai dan caj di saat rakyat berdepan tekanan inflasi.
“Cukai pintu, tarif air, caj tempat letak kereta telah pun naik sebelum ini. Kini, kerajaan negeri pula menaikkan cukai tanah serta cukai petak strata mulai tahun depan. Semua ini hanya membebankan rakyat,” katanya dalam satu sidang media.
Oh turut mempersoalkan perbelanjaan kerajaan negeri yang dianggap boros, termasuk perbelanjaan kira-kira RM10,000 sehari untuk mencetak Buletin Mutiara, pembelian kereta rasmi baharu bernilai RM3.31 juta untuk Exco dan pegawai kanan, serta bayaran bonus enam bulan berjumlah RM6.68 juta kepada 25 peratus kakitangan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
“Lebih mengejutkan, walaupun rizab negeri hampir habis, kerajaan negeri tetap membelanjakan wang secara berlebihan sehingga terpaksa meminjam RM100 juta daripada kerajaan pusat,” katanya.
Selain itu, Gerakan turut membidas kenaikan elaun ahli majlis bandaraya daripada RM1,200 kepada RM6,000 sebulan, sedangkan kualiti perkhidmatan tidak menunjukkan sebarang peningkatan ketara.
Menurut Oh, tindakan kerajaan negeri jelas menunjukkan kegagalan mengurus kewangan dan bercanggah dengan slogan CAT yang sering dilaungkan.
“Kesabaran rakyat ada hadnya. Mereka bukan ‘mesin ATM’ untuk menampung kelemahan pentadbiran dan perbelanjaan tidak berhemat kerajaan negeri,” tegasnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.