
KUALA LUMPUR, 12 Ogos 25 – Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin mengecam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana menghalang pembinaan kemudahan untuk dua sekolah di kawasannya.
Menurut Kee Chin, kedua-dua sekolah tersebut telah berjaya mengumpul dana mencukupi melalui majlis makan malam amal untuk membina sebuah dewan auditorium dan bumbung gelanggang bola keranjang masing-masing, namun permohonan mereka akhirnya ditolak oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan jabatan pendidikan daerah.
“Jika sekolah-sekolah ini mampu mengumpul dana sendiri, mengapa perlu kita tolak dan halang? Usaha ini hanya untuk menambah baik kemudahan sekolah. Sehingga hari ini masih ada sekolah rendah dan menengah, termasuk di kawasan saya sendiri, yang berjaya membina auditorium, dewan kuliah, astaka sukan dan sebagainya, termasuk sekolah bantuan kerajaan (SBK), melalui pembiayaan persendirian. Katanya di dewan rakyat, semalam.
Dia turut mempersoalkan garis panduan dan peruntukan pembinaan serta pembangunan 2024 yang dikeluarkan oleh jawatankuasa standard dan kos Kementerian Pendidikan, yang melarang pembinaan dewan kuliah, auditorium, astaka sukan dan tandas VIP di sekolah rendah dan menengah melalui pembiayaan persendirian.
“Tahun lalu, dua sekolah di kawasan saya — SMJK Chan Wa 2 dan SJKC Kampong Baru Mambau — telah mengadakan majlis makan malam amal dan berjaya mencapai sasaran kutipan. Namun, mereka ditolak oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan jabatan pendidikan daerah,” katanya.
Kee Chin turut memaklumkan kedua-dua majlis makan malam amal itu dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan menggesa kerajaan supaya tidak melaksanakan garis panduan yang “tidak masuk akal” serta membebankan pihak sekolah. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.