Ulang Tahun ke-6 : Putra Berjuang Pastikan Ideologi Kekal Relevan

KUALA LUMPUR, 8 MEI 25 – Memasuki usia enam tahun penubuhan, Parti Bumiputera Perkasa (Putra) menghadapi cabaran memastikan ideologi perjuangannya kekal relevan.

Setiausaha Agung Putra Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, walaupun kecil, Putra memain peranan sebagai pengimbang bagi kerajaan dan pembangkang.

“Perubahan lanskap politik di negara ini merupakan cabaran terhebat Putra bagi memastikan ideologi dan perjuangan ini terus kekal relevan mengikut peredaran zaman.

“Walaupun hanya berkayuh dengan lidi Putra tetap cekal membawa agenda melindungi hak rakyat, kos sara hidup rakyat, hal ehwal Perlembagaan Persekutuan dan keselamatan negara,” katanya, dalam kenyataan sempena ulangtahun ke-6 parti itu hari ini.

Katanya, sepanjang tempoh itu Putra turut berperanan sebagai pilihan alternatif untuk rakyat Malaysia.

“Putra kekal sebagai sebuah parti alternatif untuk rakyat Malaysia dan menjadi pengimbang dan pengkritik kepada kepada kedua belah pihak tidak kira kerajaan mahupun pembangkang.

“Ini bagi memastikan mereka tidak terlalu selesa dan sentiasa dibuai mimpi hingga terabai dan terleka dengan kuasa yang dipinjamkan oleh rakyat,” katanya.

Sepanjang tempoh itu juga Putra berjaya menubuhkan 128 bahagian daripada keseluruhan 222 kawasan Parlimen seluruh, katanya.

Putra diasaskan dan dipimpin bekas ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, yang sebelum ini dikenali sebagai individu lantang bersuara dalam hal ehwal dan kepentingan Melayu melalui NGO Perkasa. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share