
AMPANG | 27 Feb 26 – Bekas Naib Ketua Bahagian BERSATU Ampang, Ustaz Mohd Mustaffa Hamzah menggesa kepimpinan Perikatan Nasional (PN) mewujudkan satu Lembaga Disiplin di peringkat gabungan bagi mengekang perseteruan dan serangan terbuka antara parti komponen.
Menurut beliau, ketiadaan mekanisme disiplin di bawah payung PN membuka ruang kepada konflik berpanjangan yang akhirnya melemahkan kekuatan pembangkang.
“Jika berada dalam satu rumah yang sama, tidak wajar ada serangan sesama sendiri sehingga berlarutan tanpa penyelesaian. Ia hanya akan menjejaskan keutuhan gabungan,” katanya.
Beliau turut memberi contoh beberapa pertelingkahan dalaman yang didakwa melibatkan tokoh-tokoh tertentu dalam PN, termasuk dakwaan budaya dengki dan serangan berterusan sehingga membawa kepada tindakan pemecatan terhadap pemimpin parti.
Beliau menyebut nama seperti Azmin Ali dan Tun Faisal Ismail Aziz sebagai contoh budaya perseteruan yang menurutnya tidak sihat dalam satu gabungan politik.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa isu berkenaan tidak seharusnya berlarutan sehingga menjejaskan kredibiliti kepimpinan pembangkang, termasuk memburukkan imej individu yang memimpin blok tersebut.
“Kita mahu memastikan keharmonian dan kerjasama antara parti-parti dalam PN benar-benar kukuh. Jika tidak dikawal, ia boleh memberi kesan kepada persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.
Gesaan itu dilihat sebagai isyarat wujud kebimbangan dalam kalangan akar umbi terhadap kestabilan dalaman gabungan berkenaan, ketika pembangkang sedang berusaha memperkukuh posisi sebagai alternatif kepada kerajaan sedia ada. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.