
KUALA LUMPUR | 31 Mac 26 — Blok pembangkang hari ini mendesak kerajaan agar mengkaji pelaksanaan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian, susulan insiden tragis di Klang semalam yang meragut nyawa mangsa tidak berdosa.
Dalam kenyataan media, YB Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Parlimen Machang, menegaskan bahawa kejadian itu bukan sekadar kemalangan biasa, tetapi mencerminkan kecuaian melampau yang harus dianggap jenayah berat terhadap masyarakat.
“Ternyata, hukuman sedia ada masih gagal memberikan kesan pencegahan yang mencukupi. Insiden seumpama ini terus berulang, membuktikan bahawa pendekatan undang-undang ketika ini tidak lagi memadai untuk menangani isu pemanduan mabuk yang semakin membimbangkan,” katanya.
Beliau menekankan bahawa individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol secara nyata mengambil risiko tinggi meragut nyawa orang lain, dan undang-undang sewajarnya menganggap tindakan itu sebagai mempunyai niat membunuh.
“Ini bukan soal menghukum semata-mata, tetapi sebagai mesej jelas bahawa nyawa manusia tidak boleh dipandang ringan dan sebarang tindakan yang membahayakan orang lain akan berdepan akibat paling berat,” tegasnya.
YB Wan Fayhsal turut menyeru kerajaan untuk segera meminda undang-undang sedia ada, memperketatkan penguatkuasaan, dan memperluas kesedaran awam mengenai bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
“Nyawa yang hilang tidak dapat diganti. Sudah tiba masanya tindakan lebih drastik diambil demi melindungi keselamatan rakyat dan memastikan keadilan ditegakkan,” katanya.
Blok pembangkang sebelum ini juga menekankan bahawa kes-kes pemanduan mabuk masih berlaku walaupun hukuman telah diperketatkan melalui pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada 2020.
Dalam kenyataan yang lain, YB Dr Mohd Yadzil Yaakub, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka, menegaskan perlunya tindakan proaktif dan tegas terhadap premis penjualan alkohol, termasuk kemungkinan pengharaman penjualan di kawasan kediaman dan runcit, sebagai langkah pencegahan.
“Arak, dalam apa jua bentuk dan jenama, tetap membawa kesan memabukkan yang menjejaskan kewarasan pemandunya. Nyawa rakyat Malaysia terlalu berharga untuk dikorbankan demi melindungi kepentingan industri minuman keras atau kelonggaran peraturan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh bersikap reaktif selepas kejadian berlaku, sebaliknya perlu mengambil tindakan tegas dan tanpa kompromi bagi menyelamatkan nyawa rakyat.
Terdahulu, lelaki yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat di Klang, Selangor semalam direman empat hari. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.