
KUALA LUMPUR, 16 Okt 25— Kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bahawa parti itu tidak akan mengumumkan calon Perdana Menteri lebih awal, dilihat sebagai tamparan politik kepada impian Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kembali menduduki kerusi nombor satu negara.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Speaker Dewan Negeri Johor, Dato’ Puad Zarkashi, menyifatkan alasan Hadi kononnya demi menjaga keselamatan calon daripada “disogok emas” atau “diperangkap dengan dadah” sebagai sindiran terbuka terhadap isu integriti dalam kalangan calon pembangkang.
“PAS jelas ada calon sendiri. Bila Hadi sebut calon itu mesti berintegriti, ia seolah-olah menyindir bahawa Muhyiddin bukan orangnya. Apakah maksud tersirat — Muhyiddin mudah tergoda dengan jongkong emas?” soal Puad dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kenyataan Hadi menutup rapat ruang untuk Bersatu mengangkat semula Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN), biarpun perkara itu pernah diputuskan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu sebelum ini.
“Signalnya jelas. Bukan sekadar soal integriti, tetapi juga faktor usia. Muhyiddin sudah melepasi umur 70 tahun. PAS mahu wajah baharu, calon yang mereka anggap lebih suci dan bersih,” sindirnya.
Puad berkata, tindakan PAS menyimpan nama calon menunjukkan wujud “pertarungan senyap” antara dua parti utama PN itu mengenai siapa yang layak menjadi calon Perdana Menteri sekiranya gabungan itu menawan Putrajaya.
“Bersatu mungkin masih menaruh harapan pada Muhyiddin, tapi PAS nampaknya sudah ‘angkat tangan’. Hadi sudah tutup rapat pintu impian itu,” tambahnya.
Pada Perhimpunan Agong Tahunan Bersatu lepas, kumpulan pro muhyiddin telah mengusulkan beliau sebagai calon Perdana Menteri. Usul tersebut bagaimana pun menerima sambutan dingin oleh PAS. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.