
KUALA LUMPUR, 23 APR 25 – Kepimpinan Ketua Bersatu Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjadi persoalan kerana gagal menguruskan isu yang timbul dibawah pentadbirannya, kata penganalisis.
Penganalisis politik Universiti Malaya Tawfiq Yaakub berkata, isu pertikaian membabitkan kegagalan permohonan Ahmad Faizal untuk menukar kerusi Adun Bersatu di Perak sehingga memaksa Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin campur tangan bukti jelas kredibiliti bekas menteri besar Perak itu dipersoalkan.
“Mungkin wajar beliau direhatkan sebagai ketua Bersatu Perak,” katanya seperti dilapor FMT.
Situasi di Perak katanya mengulangi ketegangan ketika Ahmad Faizal memimpin Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan yang menimbulkan kekecewaan PAS sebelum beliau berundur akibat desakan berterusan.
“Kedudukan semasa PN Perak dalam keadaan sukar selagi mana Peja mengetuainya. Langkah drastik perlu diambil segera…jika tidak, Bersatu Perak akan berdepan kemelut politik lebih serius,” katanya.
Beberapa Adun dan ketua bahagian Bersatu Perak dilaporkan tidak berpuas hati dengan Ahmad Faizal dengan tindakannya menghantar surat kepada DUN meminta Adun Sungai Manik Zainol Fadzi Paharudin menukar kerusi dengan Adun Changkat Jong Nadziruddin Bandi, yang dakwa mereka dibuat tanpa perbincangan.
Mereka mendakwa tindakan itu sebagai ‘cubaan’ membenarkan Nadziruddin mengambil alih peranan Zainol sebagai pemangku ketua pembangkang selepas Razman Zakaria dari PAS digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang DUN.
Permintaan itu ditolak Speaker DUN Perak, Zahir Abdul Khalid, walaupun beliau bersetuju memindahkan Nadziruddin ke barisan depan, dua kerusi dari Zainol. @sumber