
KUALA LUMPUR, 23 Jun 25 – Datuk Seri Rafizi Ramli dilihat tidak agresif seperti mana sebelum dilantik sebagai menteri ekonomi, dakwa aktivis Shahbudin Husin.
Katanya, rakaman audiosiar ‘Yang Berhenti Menteri’ baru-baru ini menunjukkan Rafizi, yang juga ahli Parlimen Pandan tidak menyentuh isu kritikal yang dinantikan penonton.
“Kata mereka, walaupun Rafizi dalam temubual podcast itu ada menyentuh berkaitan (Perdana Menteri Datuk Seri) Anwar Ibrahim, kerajaan, PKR, menteri sebab beliau meletak jawatan dan pelbagai lagi, tetapi program itu secara umumnya boleh dikira hambar dan mengecewakan.
“Kata-kata dan ucapan Rafizi tidak cukup ‘menggigit’ sebagaimana beliau berucap dengan keras dalam Jelajah HIRUK sebelum ini,” kata Shahbudin, dalam hantaran Facebook.
Menurutnya, penonton siaran itu mengharapkan Rafizi harus tampil keras, lantang dan pedas sebagaimana karektor biasanya sebelum bergelar menteri.
“Bahkan kalau ‘menggigit’ biarlah ‘gigitan’ itu benar-benar berbekas dan menguji mereka yang sedang berkuasa di Putrajaya.
“Apa pun, kehambaran podcast Rafizi semalam sebenarnya masih boleh diterima memandangkan ia adalah episod pertamanya.
“Bak kata orang, enjin belum panas lagi,” katanya.
Shahbudin juga mengharapkan sesi seterusnya akan lebih menarik memandangkan Rafizi memaklumkan beliau akan muncul pada setiap Jumaat malam melalui podcastnya itu.
“Jika itu dapat dilakukan, barulah kerinduan kepada Rafizi yang dahulu terubat dengan sendirinya.” @politiko.my