
KUALA LUMPUR, 8 Okt 25 – Susulan teguran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyatakan komitmen untuk memperketat dan memastikan setiap penganjuran program dan acara di bawah seliaannya mematuhi garis panduan dan etika yang ditetapkan.
MOTAC turut menzahirkan rasa kesal terhadap kekeliruan yang timbul susulan penganjuran majlis makan malam yang tular baru-baru ini kerana menyajikan minuman beralkohol.
“Kementerian dengan penuh rasa tanggungjawab dan takzim amat mengesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang telah menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.
“MOTAC mengambil iktibar daripada perkara ini dan akan memastikan agar perkara seumpama ini tidak akan berulang,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar sebelum ini memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta kementerian berkenaan agar memastikan kesilapan menghidangkan arak di acara rasmi kerajaan tidak berulang.
Katanya, penjelasan kementerian minuman keras hanya dihidangkan selepas selesai acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.