Hadkan penganugerahan darjah, bintang pingat, kata Kadir Jasin

KUALA LUMPUR, 7 JUN 25 – Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri disaran mengurangkan penganugerahan bintang darjah, kata wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin.

Kadir turut mencadangkan mana-mana penerima bintang darjah yang melakukan kesalahan melanggar undang-undang darjah berkenaan perlu ditarik balik.

“Daripada pelbagai berita tidak baik yang melibatkan orang berbintang dan berpingat, sepatutnya kerajaan persekutuan, negeri dan wilayah telah lama mengehadkan penganugerahan dan tegas menarik balik bintang daripada penerima yang membuat kejahatan.

“Tindakan tarik balik bintang dan pingat itu pula janganlah ditujukan kepada mana-mana kumpulan tertentu seperti ahli politik, misalnya. Semua yang jahat atau memalukan negara dan negeri wajib dikenakan tindakan yang serupa,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kadir berkata, gambaran daripada laporan media menunjukkan penerima pingat gekaran Tan Sri, Datuk, Datuk Seri dan sebagainya adalah orang tidak baik, malah ada yang boleh dikategorikan sebagai samseng dan penjenayah.

“Daripada laporan polis dan perbicaraan di mahkamah, kita ketahui bagaimana ada orang membayar beratus ribu ringgit kepada ejen dan pelobi bagi ‘membeli’ bintang dan pingat. Hasilnya, ada pemuda mentah berusia 20-an dan orang yang ada rekod jenayah dianugerahkan bintang dan pingat.

“Kemudian ada beberapa buah negeri yang menteri besar atau ketua menteri menjadikan penganugerahan bintang sebagai modal politik dan sumber kewangan parti. Nampaknya, lagi maju, makmur dan berpelajaran negara kita, lagi banyak orang yang gilakan gelaran kehormat sehingga sanggup melobi dan membeli,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Pihaknya sehubungan itu menyokong saranan Yang diPertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar agar mana-mana pihak yang melobi pingat darjah tersebut bersedekah kepada fakir miskin.

“Itulah cara yang betul dan lebih baik untuk mendapatkan anugerah bintang dan pingat. Buatlah jasa kepada masyarakat dan negara bukan dengan bermain golf, pergi bercuti atau “
‘shopping’ dengan orang besar-besar.

“Dan yang mendapat gelaran tinggi-tinggi itu, patuhilah titah Sultan Ibrahim yang mahu para penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat menghargai dan berbangga dengan anugerah yang dikurniakan,” katanya.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share