
KUALA LUMPUR, 30 Okt 25 — Kerajaan Negeri Kelantan mendesak agar perjanjian perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat dikemukakan secara terbuka di Parlimen serta dibentangkan di Majlis Tanah Negara bagi memastikan ketelusan dan pemeliharaan hak negeri untuk sumber bahan nadir bumi (REE).
Dalam satu kenyataan, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan, menegaskan bahawa klausa dalam perjanjian yang ditandatangani semasa lawatan Presiden Donald Trump ke Kuala Lumpur menimbulkan kebimbangan serius terutamanya melibatkan kedudukan REE yang merupakan antara sumber penting negerinegeri pengeluar seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Berbeza dengan petroleum yang di dasar laut dan tertakluk kepada peraturan tiga batu nautika, REE terletak di daratan. Maka ia hak mutlak negeri dan rakyat Kelantan,” katanya, merujuk kepada kedudukan sumber tersebut di dalam bidang kuasa negeri seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Mohamed Fadzli turut meluahkan kebimbangan bahawa klausa yang menetapkan tiada sekatan eksport atau kuota terhadap REE ke Amerika Syarikat berkemungkinan melemahkan kuasa negeri untuk menapis pelabur atau menghadkan eksport mentah bagi meningkatkan nilai tambah tempatan.
Menurut kenyataan beliau, Kelantan mempunyai deposit Unsur Nadir Bumi Tidak Radioaktif (NREE) kedua terbesar di negara selepas Terengganu, dengan nilai mencecah ratusan bilion ringgit.
Oleh itu, kerajaan negeri menegaskan bahawa hasil bumi tersebut mesti dikendalikan demi kesejahteraan rakyat dan bukan hanya menjadi bahan tawar-menawar diplomatik.
Beliau menegaskan bahawa meskipun hak menandatangani perjanjian antarabangsa terletak di peringkat persekutuan, sumber dan “subject matter” seperti REE adalah hak negeri — dan oleh itu negeri pengeluar berhak tahu serta berhak bersuara.
Kerajaan negeri Kelantan menyatakan komitmen untuk terus membela haknya “dengan hujah dan prinsip”, sambil yakin rakyat Kelantan akan terus bersama dalam usaha mempertahankan keadilan terhadap hasil bumi negeri itu.
Semasa sidang kemuncak 47th ASEAN di Kuala Lumpur, Malaysia dan Amerika Syarikat menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan pernyataan komitmen bersama dalam usaha memperkukuh kerjasama dalam sektor logam kritikal termasuk REE.
Dalam perjanjian tersebut, Malaysia berikrar untuk tidak mengenakan larangan atau kuota eksport terhadap bahan mineral kritikal atau REE ke arah AS.
Bagaimanapun, pembangkang mengkritik hebat perjanjian tersebut yang dianggap sebegai ‘menggadai’ kedaulatan ekonomi negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.