
PARLIMEN | 4 Feb 26 – Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa tindakan blok pembangkang mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli parlimen kerajaan bukan provokasi, tetapi merupakan pelaksanaan asas fungsi perwakilan di Dewan Rakyat.
Menurut Hamzah, desakan pihaknya untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu sempadan Malaysia-Indonesia, termasuk dakwaan penyerahan ribuan hektar tanah di kawasan Pulau Sebatik sebagai pampasan untuk kampung Indonesia, adalah selaras dengan tanggungjawab pembangkang untuk menyoal dasar kerajaan.
“Ini bukan tindakan luar batas. Kita bertanya kerana rakyat mahu penjelasan. Kita tanya, Perdana Menteri jawab — itulah fungsi parlimen,” kata Ketua Pembangkang, merujuk kepada pertanyaan rasmi yang dibangkitkan minggu lalu mengenai dakwaan kontroversi sempadan tersebut.
Hamzah turut mengucapkan penghargaan atas taklimat awal yang disampaikan Anwar di dewan mengenai hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia, namun menegaskan bahawa jawapan terperinci perlu dibentangkan secara rasmi untuk memenuhi hak dan kebimbangan rakyat.
Dalam respons balasnya, Anwar menegaskan bahawa persoalan yang menyentuh isu global dan kepentingan negara perlu dibincangkan secara berhemat, sambil menolak sebarang dakwaan yang dianggap “fitnah” terhadap kerajaan. Beliau berkata pembangkang bebas bertanya, tetapi perbahasan perlu saling menghormati.
Insiden kecoh turut berlaku di dewan apabila beberapa ahli parlimen pembangkang dan kerajaan bertikam lidah, termasuk bantahan daripada anggota pembangkang sendiri setelah komen sinis terhadap tindak balas kerajaan mencetuskan reaksi balas.
Isu tersebut semakin panas apabila terdapat percanggahan kenyataan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan pegawai kanan kerajaan Indonesia mencetuskan persoalan serius mengenai status 5,207 hektar tanah di sempadan Sabah–Kalimantan, sekali gus membangkitkan kebimbangan berkait kedaulatan negara.
Anwar pada masa yang sama, mengkritik soalan pembangkang dan mengaitkannya dengan fitnah. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.