
KUALA LUMPUR, 17 JUL 25 – Sejarah Muafakat Nasional (MN) yang berkubur selepas PAS dan Umno tidak lagi sehaluan berisiko berulang kembali dalam Perikatan Nasional (PN) sekiranya pergeseran kecil tidak diatasi dengan segera oleh kepimpinan, kata penganalisis.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomudin Bakar menjelaskan, gesaan PAS agar diwujudkan Majlis Presiden dan penambahbaikan organisasi pembangkang harus diambil peduli kerana sebarang usaha menutup spekulasi akan berakhir dengan konflik dalaman yang lebih besar.
“Ia bukan sekadar isu teknikal berkaitan struktur organisasi PN, tetapi lebih kepada manifestasi awal potensi pergeseran politik antara dua komponen teras dalam PN itu sendiri.
“PN wajar segera mengadakan mesyuarat penuh Majlis Tertinggi bagi menyelesaikan ketidaktentuan ini secara rasmi dan konsensus.
“Menangguh atau mengelakkan perbincangan hanya akan memperbesar ruang spekulasi serta membuka ruang konflik dalaman yang lebih sukar ditangani kemudian hari,” katanya, kepada politiko.my.
MN merupakan kerjasama antara Umno dan PAS yang ditubuhkan selepas gabungan Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada Pakatan Harapan (PH).
MN ketika itu dikatakan menjadi wadah perjuangan untuk orang Melayu bersolidariti dan mereka turut memenangi beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum berlakunya usaha tebuk atap menyaksikan kejatuhan kerajaan PH1.0.
“Situasi ini seharusnya dijadikan pengajaran daripada kegagalan MN dahulu, yang turut bermula apabila PAS dan Umno gagal menyelaraskan pendirian secara berterusan melalui saluran formal.
“Tindakan Presiden PAS ketika itu yang mula tidak menghadiri mesyuarat utama MN memberi isyarat jelas kepada kemerosotan kepercayaan dalaman, dan akhirnya membawa kepada keruntuhan gabungan tersebut,” kata Hisomudin lagi.
Katanya, kesan utama apabila konflik dalaman PN tidak diurus dengan baik adalah ketirisan dalam aspek koordinasi politik dan kelemahan dalam penyelarasan strategi blok pembangkang.
“Ketiadaan arah tuju dan kepimpinan kolektif yang kukuh akan memperlihatkan PN sebagai gabungan yang longgar dan tidak teratur,” katanya.
Lebih membimbangkan, katanya, kekosongan peranan pembangkang secara berkesan kini telah diisi oleh pihak lain, terutamanya figura seperti bekas timbalan presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli dan beberapa pemimpin kerajaan sendiri yang mengemukakan kritikan terbuka kepada dasar pentadbiran.
Fenomena ini menjadikan PN seolah-olah ibarat “pembangkang swasta” yang lebih aktif dan relevan dalam wacana awam.
Keadaan itu bakal menyebabkan Ketua Pembangkang serta whip blok pembangkang PN kelihatan tenggelam dan tidak memainkan peranan semak imbang secara konsisten.
Akibatnya, kata Hisomudin, suara pembangkang dalam Parlimen tidak lagi dilihat sebagai suara berautoriti, sebaliknya rakyat menyandarkan kritikan mereka melalui saluran alternatif seperti media sosial atau aktivisme masyarakat sivil.
“Sekiranya keadaan ini dibiarkan, PN akan terus kehilangan kredibiliti sebagai pakatan politik yang kompeten, bukan sahaja di mata pengundi tetapi juga dalam menampilkan diri sebagai kerajaan alternatif yang berdaya saing,” jelasnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.