
KUALA LUMPUR, 1 Sep 25 – Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, melahirkan rasa dukacita berhubung insiden seorang wanita yang menceroboh pentas utama dan cuba mendekati Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, semasa Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak pagi tadi.
Menurut beliau, kejadian itu amat tidak wajar dan tidak boleh dipandang ringan memandangkan institusi diraja adalah tonggak kedaulatan negara serta payung kepada rakyat.
“Saya mendesak pihak keselamatan mengambil tindakan segera secara teliti dan menyeluruh bagi menyiasat dan memastikan kejadian serupa tidak berulang,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Hamzah turut menegaskan bahawa segala kelemahan dalam kawalan keselamatan perlu diperbaiki dengan segera bagi menjamin keselamatan dan maruah institusi diraja.
Beliau pada masa sama mendoakan kesejahteraan Sultan Nazrin serta seisi keluarga diraja Perak, selain berharap seluruh Raja-Raja Melayu sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT.
Insiden berkenaan mencetuskan kebimbangan orang ramai berhubung aspek keselamatan ketika acara rasmi melibatkan pembesar negara.
Terdahulu, semasa upacara sambutan kemerdekaan, seorang wanita telah meluru ke barisan ketika Sultan Nazrin sedang memberikan tabik hormat dan menyentap tangan baginda sebelum ditahan oleh pengawal keselamatan serta dibawa keluar.
Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin memberitahu dalam siasatan awal bahawa wanita yang ditahan mempunyai rekod rawatan psikiatri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.