
KUALA LUMPUR, 29 DIS 25 — Dewan Pemuda PAS Kawasan Tasek Gelugor hari ini menggesa PAS Pusat memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di semua peringkat berikutan apa yang didakwa sebagai tindakan khianat dan tikam belakang oleh Bersatu semasa krisis politik di Perlis.
Menurut Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar, Ketua Pemuda PAS Tasek Gelugor, hubungan antara kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN) telah mencapai tahap yang tidak lagi relevan dan perlu ditamatkan segera.
Beliau berkata gesaan itu merangkumi permintaan agar PAS mengambil tindakan sewajarnya terhadap semua lantikan yang melibatkan ahli Bersatu di negeri‑negeri di bawah pentadbiran PN.
Selain itu, Pemuda PAS Tasek Gelugor turut mencadangkan parti itu bertanding dan merampas semua kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini dimenangi Bersatu dan PAS di bawah tiket gabungan PN dalam pilihan raya umum dan pilihan raya negeri lalu.
“Tindakan ini adalah wajar dan adil untuk dipertimbangkan susulan daripada tindakan khianat dan tikam belakang oleh Bersatu di peringkat pusat dan negeri Perlis,” katanya dalam kenyataan akhbar semalam.
Mohamad Ikhwan Afiq menegaskan bahawa Bersatu hanya menggunakan PAS sebagai batu loncatan untuk memenangi pilihan raya dan meraih keuntungan politik semata‑mata, dan tidak pernah menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan dalam kerjasama politik. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.