
KUALA LUMPUR, 4 Okt 25 – Seorang ketua bahagian Bersatu secara terbuka mempersoalkan teguran yang dibuatnya terhadap Ketua Penerangan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dianggap sebagai satu kesalahan dalam parti itu.
Ketua bahagian Pendang Abdul Razak Khamis dalam hantaran Facebook berkata, beliau diarahkan hadir mengadap Lembaga Disiplin Bersatu pada 8 Okt depan atas dakwaan menyerang dan mengugut Tun Faisal melalui tulisan di media sosialnya itu sebelum ini.
“Saya ingin bertanya, sejak bila pula mengkritik Tun Faisal dianggap mengkritik parti?
“Sejak bila Tun Faisal itu adalah parti? Takkanlah begitu istimewanya dia sehingga apabila dia tersinggung maka Lembaga Disiplin terus panggil?,” soalnya.
Jelas Adun Sungai Tiang, Kedah itu, tulisan yang disiarkan di Facebook miliknya pada 12 Sept itu sekadar teguran dan peringatan kepada Tun Faisal.
“Saya ingin mempersoalkan asas dakwaan tersebut yang mana kenyataan saya adalah berupa teguran dan peringatan kepada Tun Faisal agar beliau berhati-hati dalam membuat kenyataan kepada awam.
“Peringatan saya ini bertujuan untuk mengelak dari berlaku ketegangan dan salah faham antara rakan parti gabungan,” jelasnya.
” Bagaimana pula komen-komen Tun Faisal yang jauh lebih banyak menyinggung perasaan kami diakar umbi parti?”
Sebelum ini, Abdul Razak Khamis, dalam kenyataannya menegur Tun Faisal Ismail Aziz, agar tidak mengeluarkan kenyataan peribadi yang boleh mencetuskan perpecahan dalam parti serta menjejaskan hubungan dengan rakan komponen Perikatan Nasional (PN). @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.