
KUALA LUMPUR, 6 MEI 25 – Gandingan Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin adalah yang terbaik untuk mengepalai Perikatan Nasional (PN) menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengharapkan, pemimpin tertinggi pembangkang itu dijangka mampu menarik sokongan pengundi disamping polisi yang mereka gariskan sekiranya berjaya mentadbir.
“Harapan saya agar PN tampil susuk muda dan segar untuk rakyat, Hamzah dan Dr Sam. Teknokrat dua-dua.
“Kalau boleh tampil dua susuk ini dan polisi memenangi hati oramyg Melayu dan orang bukan Melayu kerajaan yang ditubuh tidak ekstrem, moderat, progresif, dan pegang janji reform, saya yakin boleh ‘swing’ 10% undi bukan Melayu. Kita boleh jadi kerajaan,” katanya, dalam wawancara bersama The Zaid Ibrahim Podcast.
Wan Ahmad Fayhsal juga mengakui menamakan tokoh untuk menjadi ketua memimpin gabungan ketika PRU adalah masalah yang belum dapat PN selesaikan.
“PN berdepan satu naratif yang belum jelas siapa sebenarnya bakal ketuai kerajaan kalau kami jadi kerajaan semula. Tak boleh ada dua singa di satu bukit, pengerusi PN orang lain, ketua pembangkang orang lain.
“Benar PN kena selesaikan isu ini. Antara desakan PAS dibuat secara umum untuk ini, reformasi struktur PN supaya kita bergerak lebih laju,” katanya.
Kepimpinan tertinggi seperti Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Tan Sri Hadi Awang perlu bersedia menampilkan tokoh muda dan segar, katanya.
“PN perlu tampil susuk pimpinan pelapis kalau kita perlukan calon PM satu atau lebih kita ada dan bersedia…tapi itu bahayanya, untuk kempen perlu hanya ada satu calon perdana menteri,” tambah Wan Ahmad Fayhsal lagi. @politiko.my