Hamzah Tak Perlu Ikut Desakan Bersatu Bahagian Kuala Terengganu – Kata Penganalisis

KUALA LUMPUR, 7 DIS 25 — Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali dari UTM, menegaskan Timbalan Presiden BERSATU, Hamzah Zainuddin, tidak perlu mengikut desakan Bersatu Bahagian Kuala Terengganu yang mahu beliau beralah dalam kemelut parti.

Dr Mazlan berkata desakan tersebut seolah-olah meletakkan semua tanggungjawab di bahu Hamzah, termasuk menafikan penglibatan dalam usaha menyingkirkan Presiden, menguruskan Ketua-ketua bahagian yang dikaitkan dengan cubaan menjatuhkan Muhyiddin, serta bertanggungjawab terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Ini jelas tidak adil. Hamzah tidak sepatutnya dipaksa galas semua beban seorang diri,” katanya.

Beliau menekankan penyelesaian kemelut BERSATU tidak boleh bergantung kepada satu individu sahaja.

“Kalau parti serius mahu selesaikan masalah, semua pihak perlu duduk berbincang, menilai punca masalah dan bertanggungjawab secara kolektif. Menekan Hamzah seorang sahaja bukan jalan penyelesaian,” tegas Dr Mazlan.

Menurutnya, akar umbi perlu menilai keseluruhan situasi parti, bukannya hanya menumpukan kritikan dan tuntutan terhadap Hamzah semata-mata.

“Pandangan Bersatu Bahagian Kuala Terengganu itu tidak semestinya akan diikuti atau dipatuhi oleh Hamzah,” tambah beliau.

Dr Mazlan meramalkan bahawa tekanan sebegitu hanya akan sia-sia jika tidak disertai tindakan menyeluruh melibatkan semua pihak dalam parti. Beliau menegaskan Hamzah bebas membuat keputusan sendiri tanpa terikat dengan desakan bahagian tertentu.

Jumaat lalu, Bersatu Kuala Terengganu mendesak Hamzah mengisytiharkan gencatan politik dalaman yang didakwa menjejaskan imej parti serta keyakinan rakyat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share