
BAGAN SERAI | 2 Apr 26 — Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendedahkan kos tanaman padi kini meningkat mendadak, memberi tekanan besar kepada pesawah di seluruh negara.
Menurut beliau, kos yang sebelum ini sekitar RM2,000 per ekar kini telah melonjak kepada melebihi RM3,000 per ekar, didorong terutamanya oleh kenaikan harga diesel.
“Semua proses utama bergantung kepada diesel – membajak, menuai dan pam air. Kenaikan harga bahan api memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran pesawah,” katanya ketika bertemu dengan kumpulan pesawah di Bagan Serai.
Hamzah turut membangkitkan isu ketiadaan subsidi bagi jentera pertanian utama di bawah skim sedia ada.
“Jentera membajak dan menuai tidak menerima subsidi di bawah Budi Agri-Komoditi,” katanya, sambil menegaskan perkara itu menambah lagi beban yang terpaksa ditanggung pesawah.
Beliau dalam kenyataan juga menyentuh kelemahan dalam pelaksanaan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP), termasuk kelewatan dan kerumitan yang didakwa membebankan golongan petani.
Menurut Hamzah, beliau bersama beberapa ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang telah turun padang dan mendengar sendiri keluhan pesawah.
“Mereka ini antara golongan rakyat yang paling terkesan dengan kenaikan mendadak harga diesel,” katanya.
Kenyataan itu hadir ketika isu kenaikan kos sara hidup dan harga bahan api terus menjadi perhatian, dengan sektor pertanian dilihat antara yang paling terdedah kepada tekanan kos operasi.
Semalam, harga runcit diesel di Semenanjung meningkat sebanyak 50 sen kepada RM6.02 seliter, manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.