MP PAS Berang: Dakwa Bersatu Gagal Kawal ADUN, Tindakan SD Isyarat Pengkhianatan

KUALA LUMPUR, 29 DIS 25 — Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi, mendakwa krisis politik di Perlis membuktikan kegagalan Bersatu mengawal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu, sekali gus mencetuskan persoalan serius mengenai kepimpinan dalam Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu kenyataan hari ini, Afnan berkata fakta menunjukkan ADUN Bersatu telah menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menolak Menteri Besar Perlis ketika itu, Mohd Shukri Ramli, namun kepimpinan Bersatu menafikan sebarang arahan dikeluarkan kepada wakil rakyatnya.

“Bila ditanya, dijawab tiada arahan untuk ADUN menandatangani SD. Tetapi apabila didesak supaya mengambil tindakan tegas seperti PAS yang memecat tiga ADUNnya, tiada sebarang tindakan diambil sehingga hari ini,” katanya.

Beliau menegaskan keadaan menjadi lebih membingungkan apabila Bersatu kemudiannya mengemukakan nama calon Menteri Besar, yang menurutnya menguatkan persepsi bahawa tindakan ADUN berkenaan sebenarnya direstui kepimpinan parti.

“Tidak beri arahan, tetapi tidak ambil tindakan. Kedua-duanya membawa maksud yang sama — merestui tindakan,” katanya.

Afnan turut melabelkan kegagalan mengawal wakil rakyat sebagai tanda kelemahan kepimpinan, manakala tindakan menjatuhkan rakan gabungan pula disifatkan sebagai satu bentuk pengkhianatan politik.

“Kawan yang tidak mampu mengawal anak buah adalah kawan yang lemah. Kawan yang menjatuhkan kawan, ini kawan yang khianat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan perkembangan di Perlis telah menjadikan PAS paling layak untuk mengambil alih kepimpinan PN, termasuk mencadangkan Presiden PAS dilantik sebagai Pengerusi PN bagi membentuk hala tuju baharu gabungan itu.

Afnan turut mengemukakan idea penstrukturan semula gabungan menerusi konsep “PN 2.0 dan MN 2.0”, dengan menegaskan bahawa hanya kepimpinan yang tegas dan berprinsip mampu menjamin kelangsungan kerjasama politik.

“Yang khianat tak boleh dibuat kawan. Yang lemah tak boleh jadi ketua,” katanya, sambil menegaskan perlunya perubahan kepimpinan bagi memulihkan kepercayaan dalam PN.@politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share