
Tanggal 16 September setiap tahun, kita menyambut Hari Malaysia, tarikh bersejarah yang menandakan lahirnya sebuah negara persekutuan bernama Malaysia pada tahun 1963.
Untuk generasi baharu, ramai melihat sambutan ini sering dilihat berbeza daripada Hari Merdeka pada 31 Ogos 1957, tetapi sebenarnya kedua-duanya saling berkait rapat.
Kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 ialah langkah pertama yang membuka jalan kepada pembentukan Malaysia.
Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, negara baharu itu berjaya membina asas yang kukuh sebagai sebuah kerajaan yang berperlembagaan, munculnya kestabilan politik, dan penyatuan serta perpaduan antara kaum.
Walaupun ketika itu negara baru ini berdepan dengan cabaran ancaman komunis dan isu hubungan kaum, Tanah Melayu tetap dilihat stabil berbanding banyak negara baharu lain di rantau ini.
Kestabilan inilah yang menjadi asas penting untuk melangkah lebih jauh iaitu membentuk sebuah persekutuan yang lebih besar bersama wilayah-wilayah Borneo.
Pada 1961, Tunku Abdul Rahman mengemukakan idea penubuhan Malaysia. Cadangan ini membuka jalan kepada penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura (yang kemudian keluar pada 1965).
Melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sabah dan Sarawak dijamin beberapa hak istimewa seperti kuasa imigresen dan kawalan ke atas tanah serta sumber asli. Ini membolehkan mereka menyertai Malaysia dengan kedudukan yang berbeza daripada negeri-negeri lain di Semenanjung.
Pada 16 September 1963, lahirlah Malaysia – sebuah negara persekutuan yang dibina atas semangat Kerjasama dan perkongsian kuasa.
Di sinilah menjawab kekeliruan generasi baru hubungan Sejarah yang kuat antara Hari Merdeka dan Hari Malaysia.
Tanpa kemerdekaan Tanah Melayu, tak mungkin akan ada suatu kerajaan yang kuat dan stabil, dan dengan kekuatan serta kestabilan itulah ia diterjemahkan dengan pembentukan Malaysia apabila Sarawak dan Sabah menyertai Persekutuan.
Peristiwa inilah yang kita raikan ketika ini.
Jika Hari Merdeka adalah akar, maka Hari Malaysia adalah dahan yang berkembang – bersama-sama membentuk sebuah pohon bernama Malaysia yang menaungi seluruh rakyatnya.
Meneruskan agenda Malaysia dalam konteks dunia baharu, bukanlah mudah. Ini pasti berdepan dengan pelbagai cabaran. Dan setiap cabaran itu harus diurus dengan semangat kekitaan yang menghormati setiap hak wailayah dan kedaulatan sebuah negara.
Selamat Hari Malaysia. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.