
Pertempuran semula di sempadan Thailand–Cambodia menimbulkan cabaran serius kepada kestabilan serantau dan secara tidak langsung, ia menyorot kelemahan kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim.
Walaupun Anwar segera mengeluarkan kenyataan dengan menyeru kedua-dua pihak mengekalkan ketenangan, situasi menunjukkan bahawa reaksi beliau lebih bersifat simbolik daripada tindakan strategik yang efektif.
Disebalik seruan Anwar itu, ketegangan sebenar di sempadan tetap berlaku apabila laporan menunjukkan sekurang-kurangnya seorang tentera Thailand maut dan empat cedera.
Manifestasi kelemahan kepimpinan Anwar jelas apabila Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN 2025, dilihat tidak mempunyai pelan kontingensi konkrit untuk mengawal eskalasi, bergantung sepenuhnya kepada seruan diplomasi yang sifatnya umum.
Salah satu kelemahan utama ialah kekurangan pengaruh nyata Malaysia di medan diplomasi khususnya selepas kritikan meluas terhadap perjanjian perdagangan timbal balik antara Malaysia – AS.
Hakikatnya, kenyataan Anwar lebih kepada seruan moral daripada tindakan konkrit, seperti penglibatan pegawai khas atau rundingan intensif di lapangan.
Ini menimbulkan persepsi bahawa Malaysia, walaupun berada dalam kedudukan strategik ASEAN, gagal memanfaatkan pengaruhnya secara efektif untuk mencegah ketegangan daripada meningkat.
Selain itu, manifestasi kelemahan lain ialah kegagalan komunikasi yang berkesan. Kenyataan rasmi Anwar banyak disiarkan melalui media, tetapi tiada bukti langkah-langkah proaktif bagi menyampaikan mesej secara terus kepada kedua-dua pihak yang berkonflik atau kepada ASEAN Council.
Ketidakpastian ini bukan sahaja memberi ruang kepada spekulasi antarabangsa, tetapi juga melemahkan kredibiliti Malaysia sebagai negara yang mampu mengekalkan kestabilan serantau.
Perlu diingat, Malaysia terlibat dalam isu geo-politik ini bukan hanya kerana Kepengerusian Asean tahun ini, tetapi Anwar sendiri yang sebelum ini, beria-ia mahu menjadi hero menyelesaikan konflik dua negara asean ini.
Kritik terhadap Anwar ini bukan sekadar kerana kelemahan tindakannya, tetapi juga kerana kebergantungan berlebihan kepada simbolisme politik.
Dalam konteks serantau, tindakan simbolik tidak mencukupi untuk mengekang ketegangan yang boleh memberi impak serius kepada keselamatan, ekonomi, dan hubungan diplomatik.
Jika Malaysia gagal menonjol sebagai mediator yang efektif, ia berisiko kehilangan kredibiliti dan peranan strategiknya dalam ASEAN, seterusnya memberi peluang kepada negara lain untuk mendominasi agenda serantau.
Konflik Thailand–Cambodia menyerlahkan bahawa kepimpinan Anwar Ibrahim masih terhad dari segi keberkesanan tindakan nyata di peringkat antarabangsa. Tanpa strategi konkrit dan keberanian untuk bertindak, peranan Malaysia sebagai negara perantara berisiko menjadi sekadar retorik. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.