
KUALA LUMPUR, 11 Sep 2025 – Exco Armada Bersatu Malaysia, Meor Naqiuddin, melahirkan rasa kecewa terhadap perjalanan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025, yang menurutnya lebih banyak menumpukan kepada pengukuhan kedudukan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berbanding isu rakyat.
Dalam kenyataannya, Meor berkata usul utama yang dipersetujui – mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-11 – tidak memberi manfaat nyata kepada rakyat dan hanya mengekalkan corak lama PAT sebelum ini.
“Satu sahaja perkataan yang dapat menggambarkan isi hati saya – kecewa. Pentas PAT yang sepatutnya mengangkat aspirasi, dasar dan sasaran parti kini menjadi pentas membodek,” katanya di facebook.
Meor yang juga Exco Armada Bersatu Malaysia turut mengimbas usul utama dalam tiga PAT berturut-turut yang disifatkan berulang tanpa membawa hala tuju baharu di mana pada PAT 2023 mendesak Muhyiddin kekal sebagai Presiden. Manakala PAT 2024 mengangkat jawatannya sebagai Presiden Pengasas, dan pada PAT 2025 menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri.
Katanya, keadaan itu menyebabkan perbahasan isu rakyat seperti kos sara hidup, ekonomi dan sosial tenggelam tanpa perhatian sewajarnya.
“Akhirnya suara perwakilan yang membawa isu rakyat hilang dek kerana satu usul penuh drama,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan rasa kesal apabila dasar Wawasan Kemakmuran Bersama yang disentuh Presiden hanya ditonjolkan secara ringkas di media sosial, bukannya diangkat sebagai usul utama parti.
“Jika Wawasan Kemakmuran Bersama diketengahkan, rakyat boleh menilai kemampuan Bersatu memimpin negara dan menawan Putrajaya,” katanya.
Meor dalam pada itu turut mempersoalkan strategi parti yang dilihat terlalu bergantung kepada “jenama Abah” untuk meraih sokongan pengundi menjelang PRU16.
“Kalau benar jenama Abah menjamin kemenangan, mengapa keputusan PRN Melaka 2021 dan PRN Johor 2022 tidak cemerlang? Faktor kemenangan PN pada PRU15 adalah tawaran yang menarik, imej bersih serta gerak kerja berstruktur – bukan sekadar slogan,” tegasnya.
Mengakhiri kenyataan, Meor menggesa Bersatu segera menghentikan politik nostalgia dan kembali memberi fokus kepada agenda rakyat.
“Tepuk dada, tanya diri. Jangan biar rakyat lihat kita sebagai bahan jenaka,” katanya.
Terdahulu, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu baru-baru ini telah meluluskan usul menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari parti itu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.