
KUALA LUMPUR, 28 Mei 25 — Hubungan erat antara Malaysia dan Singapura terus diperkukuhkan apabila satu pertemuan mesra berlangsung hari ini di ibu negara antara pimpinan tertinggi Bersatu dan Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan.
Pertemuan tersebut turut disertai oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, dan tokoh utama Bersatu iaitu Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin serta Setiausaha Agung Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dalam satu kenyataan, Muhyiddin berkata pertemuan yang berlangsung dalam suasana santai dan mesra itu menjadi medan perbincangan pelbagai isu semasa melibatkan hubungan dua hala Malaysia-Singapura serta perkembangan global terkini.
“Saya berharap persahabatan yang terjalin sejak sekian lama ini terus erat demi kebaikan dua negara, khususnya dalam memacu pembangunan bersama di peringkat serantau,” kata Muhyiddin.
Pertemuan ini dilihat sebagai langkah positif dalam memperkukuhkan hubungan diplomatik dan kerjasama strategik antara dua negara jiran yang saling bergantung dari segi ekonomi, sosial dan keselamatan serantau.
Pertemuan Presiden Bersatu ini berlangsung selepas Ketua Pembangkang yang juga Timbalan Presiden Bersatu telah memberi syarahan di ISEAS – Yusof Ishak Institute, Singapura yang bertajuk “A Bird’s-Eye View of the Malaysian Political Landscape”, yang mana dalam syarahan tersebut Hamzah telah mengetengahkan konsep Konsensus Nasional Baharu. @politiko.my