“‘Ikan Busuk Dari Kepala’: Rahim Dedah Budaya Bersatu, Angkat ‘Reset’”

KUALA LUMPUR | 17 Apr 26 — Langkah Tan Sri Rahim Tamby Cik meninggalkan BERSATU hadir dengan mesej yang tidak berselindung iaitu masalah dalam parti itu bukan lagi kecil, tetapi berpunca dari pucuk pimpinan sendiri.

Dalam kenyataan terbukanya di facebook, semalam, Rahim secara langsung mengkritik budaya dalaman parti yang didakwa semakin menyimpang daripada asas perjuangan.

“Bila sesuatu parti politik telah mula memilih jalan untuk mendewa-dewakan pemimpinnya… bila teguran dianggap sebagai pengkhianatan… parti seperti ini pastinya tidak akan dan tidak boleh lagi menjadi puncak keyakinan rakyat.”

Beliau turut membangkitkan isu ketelusan dan keadilan dalam pentadbiran parti, termasuk keputusan yang didakwa boleh diubah sesuka hati serta pelaksanaan dasar yang bersifat “memilih bulu”.

Menguatkan kritikannya, Rahim menggunakan kiasan tajam yang jarang diungkap secara terbuka oleh pemimpin dalaman sendiri:

“Kebanyakan parti politik Melayu… sedang mengalami sindrom ‘ikan membusuk bermula dari kepalanya’.”

Walaupun melepaskan pelbagai jawatan penting termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan ketua bahagian, Rahim menegaskan keputusan itu dibuat selepas pertimbangan mendalam, demi memilih jalan perjuangan yang lebih bersih.

“Dalam perjuangan, pemilihan wajar dibuat sama ada kekalkan ego dan keseronokan memegang jawatan… atau mencari landasan yang baru, bersih serta berintegriti.” Katanya.

Dalam masa sama, beliau mengangkat Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai pemimpin yang membawa hala tuju baharu melalui gagasan “Reset” dan “Konsensus Nasional Baru”.

“Kelahiran sebuah parti yang akan diperkasakan oleh DS Hamzah… adalah satu ‘anugerah Allah’ kepada Malaysia dan masa depannya.” Ujarnya.

Menurut Rahim, pendekatan tersebut bukan sekadar retorik pilihan raya, sebaliknya satu usaha menyeluruh untuk membina semula negara merangkumi politik, ekonomi dan perpaduan nasional.

Di sebalik kritikan keras terhadap parti lama, pendirian Rahim jelas — beliau bukan sekadar meninggalkan BERSATU, tetapi sedang menyertai arus baharu yang cuba membentuk semula arah politik negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share