
KUALA LUMPUR | 9 Julai 26 – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mendakwa slogan “Impian Malaysia” yang dibawa DAP bukan berasaskan Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya hanya merupakan slogan politik parti yang tidak boleh dijadikan asas pembentukan identiti negara.
Ketua Penerangan PERKASA, Azrol Mansor berkata, Malaysia dibina atas Perlembagaan Persekutuan dan bukannya berpaksikan gagasan atau slogan mana-mana parti politik.
“Tiada mana-mana parti mempunyai hak untuk mentafsir semula identiti negara mengikut acuan ideologi mereka. Malaysia bukan dibina atas ‘Impian Malaysia’ DAP, tetapi dibina atas Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau mengulas kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang yang menggesa rakyat Johor tidak memecahkan undi Pakatan Harapan demi mempertahankan apa yang disifatkannya sebagai “Impian Malaysia”.
Menurut Azrol, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan asas negara dengan jelas, termasuk kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung kedaulatan negara serta tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di bawah Perkara 153.
Katanya, perkara-perkara tersebut merupakan asas kenegaraan yang tidak boleh dipersoalkan atau diubah melalui slogan politik.
PERKASA turut mendakwa naratif “Impian Malaysia” yang sering diketengahkan DAP berpotensi mengubah kefahaman rakyat terhadap kontrak sosial serta semangat pembentukan Persekutuan Malaysia.
Sehubungan itu, Azrol menggesa rakyat supaya berwaspada terhadap sebarang usaha mengangkat ideologi parti mengatasi Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau berkata ia bukan referendum untuk meluluskan agenda politik mana-mana parti, sebaliknya medan rakyat memilih kerajaan negeri yang menghormati Perlembagaan.
“Rakyat Johor terkenal dengan semangat menjunjung institusi Raja, mempertahankan agama Islam serta menghormati Perlembagaan Persekutuan. Kesetiaan rakyat hendaklah kepada negara, Raja dan Perlembagaan, bukannya kepada ‘impian’ yang dicipta oleh mana-mana parti politik,” katanya.
Beliau menegaskan “Impian Malaysia” yang sebenar ialah sebuah negara yang terus berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan, mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, memartabatkan Islam sebagai Agama Persekutuan, memperkukuhkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Baru-baru ini, pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, yang menyifatkan rakyat Johor kini memikul tanggungjawab besar untuk mempertahankan ‘Impian Malaysia’, iaitu sebuah negara yang lebih adil, bebas, makmur serta menjunjung kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.
‘Impian Malaysia’ merupakan satu gagasan yang dicetuskan oleh Lim Kit Siang dengan kata-kata ““Impian Malaysia membayangkan sebuah masyarakat yang majmuk di mana setiap warga bersatu, bangkit melampaui perbezaan etnik, agama, budaya dan bahasa, di mana titik persamaan mengikat mereka sebagai satu warga, melangkaui perbezaan-perbezaan tersebut yang memecahbelahkan mereka. (sumber dapmalaysia.org). @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.