
KUALA LUMPUR | 7 Apr 26 — Inisiatif penubuhan rangkaian Madani Mart mula dipersoal apabila Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menegaskan bahawa pendekatan tersebut bukan penyelesaian sebenar kepada isu kos sara hidup, sebaliknya berisiko menjejaskan ekosistem peruncit kecil sedia ada.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah MTEM, Mohammad Syahnis Salleh, dalam satu kenyataan media, menyuarakan kebimbangan bahawa pembukaan outlet baharu di bawah model Madani Mart berpotensi mewujudkan persaingan langsung dengan peniaga tempatan, yang selama ini menjadi tulang belakang ekonomi komuniti.
“MTEM menyokong sebarang usaha murni untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, kami percaya bahawa kaedah pelaksanaannya perlu diperhalusi agar lebih inklusif dan mampan bagi keseluruhan ekosistem usahawan mikro dan kecil.
“Pendekatan yang lebih holistik diperlukan bagi memastikan agenda ini tidak meminggirkan peruncit kecil yang telah lama menjadi tulang belakang ekonomi setempat. Katanya.
Menurutnya, dengan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyumbang sekitar 30 peratus kepada KDNK serta menyediakan lebih tiga juta peluang pekerjaan, sebarang dasar yang mengganggu keseimbangan ini dilihat sebagai langkah ke belakang.
Tambah Syahnis, dana yang diperuntukkan untuk membangunkan rangkaian baharu sepatutnya disalurkan kepada usaha memperkasa kedai runcit sedia ada melalui program transformasi dan sokongan operasi. Pendekatan ini, kata mereka, bukan sahaja lebih inklusif, malah mampu memberi kesan ekonomi yang lebih meluas tanpa menekan peniaga kecil.
“Ini akan memberi impak ekonomi yang lebih meluas berbanding membina rangkaian baharu yang mungkin bersaing dengan peniaga tempatan. Ujarnya.
Lebih membimbangkan, MTEM turut membangkitkan isu keadilan yang dikhuatiri mewujudkan ‘padang permainan tidak seimbang’ yang akhirnya melemahkan daya saing peruncit kecil yang tidak menikmati kemudahan sama.
“Sejarah menunjukkan banyak projek peruncitan berskala besar yang bersifat ‘top-down’ sukar untuk bertahan lama. Tambahnya.
Dalam masa sama, Syahnis menegaskan bahawa pengasingan jelas antara pembuat dasar dan pelaksana perniagaan amat penting bagi mengelakkan konflik kepentingan serta memastikan integriti program kerajaan kekal terpelihara.
Beliau menegaskan bahawa usaha menurunkan harga barangan tidak semestinya memerlukan penubuhan entiti baharu berskala besar, sebaliknya boleh dicapai dengan memperkukuh jaringan peruncit sedia ada yang lebih dekat dengan komuniti.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan kedai runcit MADANI Mart yang pertama di negara ini melalui cawangan Indera Mahkota 8 (IM8) pada Jumaat.
Inisiatif Madani Mart yang diterajui Yayasan Madani itu merupakan strategi Kerajaan Madani dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat serta menangani cabaran kos sara hidup secara menyeluruh.
Untuk rekod, semasa pentadbiran Najib Tun Razak, kerajaan telah mewujudkan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) dengan tujuan yang hampir sama, namun inisiatif itu tidak kekal lama. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.