
KUALA LUMPUR, 30 Sep 25 — Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, dijangka mengambil masa lebih lama daripada jadual asal dan berkemungkinan berlarutan hingga selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Peguam Ram Singh, yang mewakili seorang saksi kanak-kanak, berkata masih ramai saksi belum dipanggil untuk memberi keterangan, selain kemungkinan penambahan saksi pakar baharu.
“Kami ada buat penilaian berapa ramai saksi lagi perlu dipanggil dan dalam hal ini kami mungkin tambah seorang lagi. Besar kemungkinan kami akan panggil seorang lagi pakar,” katanya pada sidang media selepas prosiding di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Beliau turut menjelaskan bahawa peguam keluarga Zara serta peguam lain yang terlibat turut menyenaraikan lebih ramai saksi, sekali gus berpotensi melanjutkan prosiding melepasi tempoh PRN.
“Cara kes ini berjalan mungkin akan melangkaui tempoh pilihan raya, Disember pun tidak habis,” katanya lagi.
Rakan guamannya, Joan Goh, berkata berdasarkan analisis Koroner Amir Shah Amir Hassan, prosiding setakat ini baru berjalan sekitar 19 peratus.
“Berdasarkan senarai saksi yang kita terima … sekarang kita baru ada 14 daripada 68 saksi, jadi baru sekitar 19% kes ini (berjalan),” jelasnya.
Inkues bagi menentukan punca kematian pelajar SMKA Tun Datu Mustapha itu bermula pada 3 September lalu dan pada awalnya dijadual selesai pada 30 September.
Sementara itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka dibubarkan pada akhir Oktober atau awal November, sebelum tarikh tamat penggal semasa pada 11 November. Justeru, PRN17 berkemungkinan diadakan antara akhir November atau awal Disember, tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.