PM Thai Digantung Tugas, Mahkamah Thai ‘Bertaring’ Berbanding M’sia – kata Zaid

KUALA LUMPUR, 2 Jul 25 – Bekas Menteri Undang-undang Datuk Zaid Ibrahim membandingkan institusi mahkamah Thailand yang menggantung tugas Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra berbanding badan kehakiman Malaysia yang didakwanya “terkongkong” oleh reka bentuk institusi.

Zaid mendakwa, keputusan Mahkamah Perlembagaan Thailand yang menggantung Paetongtarn daripada tugas sementara menunggu pertimbangan kes beliau berhubung perbualan telefonnya dengan pemimpin Kemboja, Hun Sen, yang bocor melaksanakan kuasa sebenar mereka.

“Mahkamah Persekutuan kita tidak mempunyai kuasa untuk memulakan tindakan terhadap eksekutif melainkan perkara itu dibawa secara rasmi ke hadapannya.

“Dewan Negara pula kebanyakannya bersifat adat istiadat – sebuah dewan yang dipenuhi lantikan politik yang jarang mempersoalkan tindakan eksekutif, apatah lagi mencabarnya,” katanya.

Katanya, Mahkamah Thailand sedia menyingkirkan perdana menteri dan membatalkan keputusan pilihan raya apabila berlaku pelanggaran Perlembagaan.

Situasi berbeza pula di Malaysia, badan kehakiman dihalang oleh “reka bentuk institusi dan keengganan politik”.

Zaid mendakwa, agensi penguatkuasa juga tidak menunjukkan iltizam untuk bertindak terhadap individu berprofil tinggi yang disyaki terlibat dalam salah laku.

“Malangnya, kita telah menjadi sebuah negara yang pengurusan persepsi menggantikan pencarian kebenaran, dan putar belit komunikasi awam menggantikan proses kehakiman sebenar. Kita disuruh untuk tidak membuat spekulasi, tidak menyindir, dan tidak mempersoalkan

“Institusi tidak boleh berfungsi dalam ruang kosong. Ia bertindak balas terhadap tekanan awam, kehendak rakyat, dan suara hati nurani masyarakat. Kini rakyat Malaysia perlu bertanya kepada diri sendiri: sejauh mana kita akan terus bertoleransi terhadap pelanggaran seperti ini?,” katanya.

Sekiranya rakyat tidak bersuara, terhadap kemerosotan moral dan institusi oleh para pemimpin, maka hak untuk menuntut kebertanggungjawaban akhirnya akan hilang.

Sehubungan itu, Zaid sekali lagi menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melepaskan jawatannya secara sementara bagi membolehkan siasatan yang telus dijalankan terhadap dakwaan salah laku seksual serta campur tangan politik dalam institusi kehakiman dan agensi penguatkuasaan.

Zaid memberi peringatan bahawa kepercayaan awam dan integriti institusi kini menjadi pertaruhan, dan seruannya agar Anwar berundur tidak berasaskan andaian bahawa perdana menteri bersalah, tetapi kerana keperluan untuk menegakkan tanggungjawab etika. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share