
KUALA LUMPUR, 29 Jul 25 – Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyindir Ketua AMK PKR Kamil Munim kerana menyelar doa dibacakan ketika himpunan Turun Anwar, minggu lalu.
Tun Faisal berkata, hanya mereka yang zalim akan takut kepada doa seorang Muslim yang dizalimi.
“Masalahnya, kenapa Kamil Munim takut sangat dengan doa seorang muslim kepada Tuhannya?
“Ini bukan seperti ritual main lilin ‘Candle Vigil’ macam amalan pemimpin Melayu PKR dan pemimpin Melayu DAP buat dulu. Bukannya mereka buat mogok lapar untuk memohon sesuatu.
“Mereka berdoa kepada Allah kerana mereka berhajatkan sesuatu dan merasa diri mereka dizalimi oleh pemerintah mereka,” kata Tun Faisal dalam hantaran Facebook.
Tegasnya, pemimpin PKR itu tidak perlu takut kepada doa seorang Muslim kepada Tuhannya jika mereka tidak melakukan sebarang kesalahan dan kezaliman.
“Apabila kamu, Kamil Munim, berasa takut, maksudnya kamu sedar kamu bukan orang yang baik dan pemimpin kamu juga bukan pemimpin yang baik.
“Kamu sedar pemimpin kamu zalim dan menindas rakyat. Baguslah jika kamu sedar bahawa pemimpin kamu zalim dan kamu juga sedar bahawa doa rakyat yang dizalimi ini, tiada hijab antara doa mereka itu dengan Allah,” katanya.
Katanya, oleh yang demikian kerajaan harus berbuat baik kepada rakyat sekiranya ingin didoakan dengan kebaikan.
“Selagi kami tak tunaikan janji-janji kamu terhadap mereka, mereka adalah golongan yang dizalimi.
“Maka memang patutlah kamu takut dengan doa mereka,” tambahnya.
Terdahulu, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, menganggap golongan yang mendoakan kehancuran kepada saudara seislam harus ditolak oleh setiap daripada kita yang mahukan negara ini selamat daripada ancaman kumpulan ekstrim dan radikal.
“Mendoakan kehancuran buat saudara Islam yang lain adalah manifestasi pemikiran radikal yang akan merosakkan dan memecahbelahkan umat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.