
KUALA LUMPUR | 12 Feb 26 – Kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bahawa beliau tidak lagi memiliki sebarang saham sejak enam atau tujuh bulan lalu tidak seharusnya menutup persoalan pokok berhubung isu tersebut, tegas mantan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil.
Menurut Isham, hujah bahawa pemilikan saham telah dilepaskan tidak menghapuskan kemungkinan berlakunya kesalahan sebelum ini.
“Jika benda itu salah, ia tetap salah walaupun kamu dah tidak buat lagi,” katanya dalam status facebook beliau.
Azam sebelum ini dilaporkan berkata bahawa sejak Julai lalu beliau tidak memiliki sebarang saham dalam mana-mana syarikat dan akaunnya kini kosong.
Namun Isham menolak logik tersebut dengan menyifatkan ia tidak menjawab isu sebenar. Beliau membandingkan situasi itu dengan kesalahan jenayah yang tetap dianggap salah walaupun pelakunya sudah berhenti melakukannya.
“Jika tidak, perogol atau pencuri pun boleh kata yang dia dah berhenti merogol atau mencuri bulan lepas, bulan ini dia dah tak buat lagi. Jadi buat apa tangkap dia? Begitu juga jika dia ambil rasuah tahun lepas saja, tahun ini tak ambil lagi, adakah itu bermakna dia tak salah?” katanya.
Isham turut mempersoalkan kefahaman asas undang-undang dan prinsip integriti yang sepatutnya difahami oleh seorang Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“Takkan sebagai KP SPRM kamu tidak faham benda ini? Ini basic,” ujarnya.
Isu pemilikan saham oleh Azam sebelum ini mencetuskan perdebatan hangat mengenai konflik kepentingan dan standard integriti dalam kalangan penjawat awam tertinggi, khususnya bagi institusi penguatkuasaan anti-rasuah.
Walaupun Azam menegaskan bahawa beliau tidak lagi memiliki saham, kritikan seperti yang dibangkitkan Isham menunjukkan bahawa perbahasan kini beralih kepada persoalan sama ada wujud pelanggaran peraturan atau konflik kepentingan ketika pemilikan itu berlaku. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.