
KUALA LUMPUR, 22 Okt 25 — Kerajaan persekutuan akan membuat keputusan sama ada untuk merayu atau tidak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memutuskan bahawa kegagalan untuk memberi 40 peratus bahagian hasil kutipan kepada negeri Sabah sejak 1974 adalah satu tindakan yang di luar kuasa (ultra vires).
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa keputusan muktamad akan dibuat setelah kerajaan menerima serta meneliti nasihat daripada Peguam Negara, ketika sesi taklimat khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan menghormati proses undang-undang dan akan memastikan apa jua tindakan adalah demi kepentingan Sabah dan negara.
Kerajaan juga menyebut bahawa sejak mengambil alih Putrajaya, peruntukan kepada Sabah telah meningkat dengan ketara, melebihi jumlah hasil kutipan tahunan negeri tersebut.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini memutuskan Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.
Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid yang menyifatkan pemberian khas yang dibuat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai ‘tidak sah, ultra vires dan tidak rasional’ serta melanggar Perlembagaan Persekutuan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.