Pemuda PAS Desak Kerajaan Selangor Tumpu Bantu Rakyat, Bukan Ulang Kegagalan

SHAH ALAM, 12 NOV 25 – Pemuda PAS Selangor menggesa kerajaan negeri supaya tidak mengulangi kegagalan Rancangan Selangor-1 (RS-1) dalam pembentangan Bajet Selangor 2026 dan Rancangan Selangor-2 (RS-2) yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar, berkata rakyat Selangor masih berdepan tekanan ekonomi yang serius dengan pendapatan tidak seiring kenaikan kos sara hidup, kadar kemiskinan bandar yang membimbangkan serta harga rumah yang terlalu tinggi.

“Rakyat terus tersepit dalam kitaran ekonomi ganas, ditambah pula dengan jurang pendapatan yang semakin melebar antara bandar dan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri perlu lebih fokus dan realistik dalam merangka bajet akan datang dengan memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan mampan.

Pemuda PAS Selangor mencadangkan empat tumpuan utama dalam Bajet Selangor 2026 dan RS-2, termasuk memperuntukkan dana besar bagi menjamin keselamatan serta kesihatan rakyat.

Selain itu, kerajaan negeri disaran meningkatkan program latihan kemahiran dan kebolehpasaran pekerjaan bagi membantu isi rumah miskin mutlak keluar daripada garis kemiskinan melalui peningkatan gaji.

Sukri turut menekankan keperluan pelan yang lebih meyakinkan untuk menyediakan rumah mampu milik yang benar-benar selaras dengan keperluan rakyat, khususnya golongan muda.

“Kerajaan juga perlu memperuntukkan lebih banyak dana bagi pembangunan infrastruktur asas di luar bandar agar jurang sosioekonomi tidak terus melebar,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share