Jalan Raya Timur-Barat Uzur, Perlu Jalan Baharu, kata MP Gerik

KUALA LUMPUR, 10 Jun 25 – Nahas mengakibatkan kematian 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini menekankan keperluan untuk pembinaan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) baharu, kata Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob.

Menurutnya, laluan sedia ada JRTB yang dibina pada tahun 1967 ini telah uzur, disamping turapan dan struktur jalannya yang usang dan berteknologi lama.

“Saya juga ingin menekankan sudah tiba masanya untuk kerajaan memberi perhatian serius berkenaan cadangan pembinaan semula JRTB.

“Ianya perlu dibina dengan material dan rekabentuk baharu, dilebarkan dan dipasang lampu jalan.

“Manakala garisan jalan dan papan tanda yang lebih efisien perlu dipasang bersesuaian dengan keadaan JRTB yang melalui Hutan Simpan Royal Belum,” katanya, dalam satu kenyataan.

Tragedi itu katanya harus menjadi peringatan kepada betapa pentingnya aspek keselamatan jalan raya dan keperluan mendesak untuk menambah baik infrastruktur sedia ada demi kesejahteraan rakyat.

Tambah Fathul Huzir, pembinaan jalan baharu itu juga perlu mengambil kira faktor laluan hidupan liar seperti gajah, harimau dan seladang, seperti mana pembinaan Rawang ByPass.

Selain itu, pihaknya mencadangkan keperluan menubuhkan ‘Pasukan Tindak Pantas’ secara tetap di Pulau Banding dengan menempatkan klinik, ambulans, polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan RELA yang dapat membantu mencegah kemalangan maut di JRTB tanpa perlunya menunggu pasukan penyelamat daripada Bandar Gerik atau Jeli semata-mata.

“Ini kerana tempoh perjalanan untuk ke JRTB Pulau Banding mengambil masa antara 45 minit hingga 1 jam atau lebih.

“Kewujudan pasukan khas yang dilengkapi dengan keupayaan perubatan kecemasan, bantuan teknikal dan logistik amatlah penting bagi memberi bantuan awal kepada mangsa yang terlibat dengan kemalangan,” tambahnya lagi.

Dalam nahas tersebut, 33 penuntut UPSI turut mengalami kecederaan. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share