Walaupun sekian lama menetap di negara berteraskan Melayu-Islam, namun masih terdapat dalam kalangan penduduk bukan Melayu, antaranya etnik Cina yang langsung tidak memahami adab Melayu dipandu oleh nilai-nilai Islam. Dalam hal ini, terbaharu ialah titah yang bukan sahaja tidak ingin dipatuhi, juga mahu dibantah…
Berhubung tindakan etnik Cina yang enggan mematuhi titah, jelaslah kelompok ini tidak mengetahui tentang adab Melayu. Apabila ditegur, mereka beranggapan bermotifkan politik. Sebenarnya apa-apa jua tegurannya, khususnya daripada etnik Melayu, pastinya kerana adab Melayu sedang dicabuli.
Ini kerana menjadi budi pekerti Melayu bahawa titah tidak boleh sesekali dibantah dalam apa-apa jua bentuk, walaupun secara sopan. Hal ini kerana ia bukan sahaja berkait kesopanan tetapi kerukunan, iaitu syarat sah dan asas wajib untuk kesempurnaan sesuatu itu.
Inilah yang sepatutnya difahami etnik Cina, bukannya mahu melakukan sesuatu walaupun dalam bentuk cadangan sahaja dan secara sopan. Dalam hal ini, ia tidak sepatutnya disokong, sebaliknya dikeji sebagai biadab oleh semua pihak.
Perkara yang patut dilakukan ialah memohon maaf bukan sahaja kepada pihak Istana, juga kepada etnik Melayu kerana tindakan mereka membangkit kemarahan keseluruhan etnik Melayu.
Mereka juga harus berhenti daripada bersikap rakus, khususnya dalam hal sosioekonomi untuk memperoleh keuntungan semata-mata tanpa mengira langsung soal sosiobudaya etnik lain. Dalam hal ini, mereka hendaklah berpada-pada dalam semua perkara yang ada kaitan dengan sensitiviti Melayu dan Islam kerana bermastautin di bumi Melayu-Islam.
Dalam pada ini, etnik Cina tidak patut lagi membawa gagasan sama rata dalam apa-apa jua hal, termasuklah untuk menuntut perkara tertentu yang mahu dianggap sebagai hak mutlak mereka kerana perkara itu hanya merupakan keistimewaan yang diberikan etnik Melayu kepada etnik Cina, tidak boleh sama sekali disamakan dengan hak yang wajib dilunaskan etnik Melayu kepada mereka.
Sepatutnya sebagai minoriti, etnik Cina tinggal baik-baik di bumi Melayu-Islam ini dengan mengikuti filsafat peribahasa Melayu, ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.’ Dengan ini, patuhilah peraturan di tempat yang didiami, yakni Malaysia yang sesungguhnya tidak pun menindas, melainkan berlaku adil kepada mereka pada setiap masa.
Etnik Cina bukan sahaja perlu mula belajar untuk menghormati peraturan setempat, juga bersedia mengamalkan norma negara ini. Untuk ini, pemimpin Cina hendaklah menuntun dengan membawa naratif ‘masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.’ Mereka juga hendaklah membawa diri dengan seadanya di bumi Melayu-Islam ini.
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
Rencana ini telah diterbitkan di Utusan, 28 Apr 26
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.