
KOTA KINABALU | 28 Apr 26 — Mantan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyeru rakyat agar menyokong Gerakan RESET sebagai usaha nasional untuk memperbaiki hala tuju negara ke arah yang lebih baik.
Menurut beliau, gerakan tersebut merupakan inisiatif kolektif yang digerakkan dengan semangat kebersamaan bagi membetulkan kelemahan sedia ada serta memperkukuh aspek yang masih baik dalam pentadbiran dan pembangunan negara.
“Saya bersama penggerak RESET Sabah yang begitu komited dan bersemangat untuk melihat perubahan kepada hala tuju dan kepimpinan negara agar menjadi lebih baik,” katanya.
Hamzah berkata, Gerakan RESET bukan sekadar slogan politik, sebaliknya satu ikhtiar nasional yang bertujuan memastikan Malaysia kembali berada pada landasan yang tepat.
“Gerakan RESET adalah ikhtiar nasional untuk memperbaiki apa yang lemah, memperkukuh apa yang baik dan memastikan Malaysia kembali berada pada landasan yang betul,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan iltizam yang tinggi serta semangat perpaduan dalam kalangan rakyat, negara mampu bangkit semula sebagai sebuah negara yang stabil dan dihormati di peringkat antarabangsa.
“Insya-Allah, dengan iltizam tinggi dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat, kita mampu mengangkat semula Malaysia muncul sebagai negara yang stabil, makmur dan dihormati,” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau bersama penggerak RESET Sabah dalam satu pertemuan yang menghimpunkan penyokong gerakan tersebut di negeri berkenaan, baru-baru ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.