
KUALA LUMPUR | 28 Apr 26 — Isu penternakan babi di Selangor tidak seharusnya dipolemikkan sebagai persoalan Perlembagaan, sebaliknya perlu dilihat dalam kerangka dasar negeri dan pertimbangan tempatan, kata Setiausaha Agung Sekretariat Tanahair, Dr. Armin Baniaz Pahamin.
Menurut beliau, penggunaan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan bagi menyokong cadangan membenarkan semula penternakan babi adalah tidak tepat, kerana peruntukan tersebut bertujuan melindungi individu daripada diskriminasi, bukannya menjamin keseragaman dalam semua aktiviti ekonomi.
“Kesamarataan tidak bermaksud semua perkara mesti dilayan sama. Dalam banyak keadaan, perbezaan dasar adalah dibenarkan selagi berasaskan pertimbangan yang munasabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki, yang membangkitkan soal “hak kesamarataan” dalam isu berkenaan.
Dr. Armin menjelaskan bahawa bidang penternakan serta penggunaan tanah terletak di bawah kuasa kerajaan negeri, yang mempunyai budi bicara untuk menetapkan dasar berdasarkan faktor seperti alam sekitar, perancangan kawasan dan komposisi penduduk.
Dalam konteks Selangor, katanya, kerajaan negeri sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk melaksanakan titah Sultan Selangor supaya operasi penternakan babi dipindahkan secara berperingkat dan ditamatkan sepenuhnya di negeri itu.
“Apabila perkara ini dibangkitkan semula atas asas Perlembagaan, ia mengelirukan kerana isu sebenar adalah pelaksanaan dasar negeri, bukan hak mutlak yang dilindungi Perlembagaan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam masyarakat majmuk, keseimbangan antara prinsip undang-undang, sensitiviti sosial dan struktur pentadbiran perlu diurus secara berhati-hati bagi mengelakkan ketegangan yang tidak perlu.
Dalam masa sama, beliau berpandangan bahawa perbahasan seperti ini mencerminkan cabaran dalam kerajaan campuran, khususnya dalam memastikan setiap pihak mempunyai kefahaman yang selaras terhadap batas dasar dan peranan institusi.
“Yang penting ialah memastikan keputusan dasar dibuat secara jelas dan konsisten, tanpa menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.