
KUALA LUMPUR | 14 Sep 26 – Kerajaan Persekutuan perlu lebih bersungguh-sungguh mengangkat Tamadun Sungai Batu sebagai sebahagian daripada naratif sejarah dan tamadun nasional, termasuk melalui usaha penjenamaan yang lebih menyeluruh.
Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM), Ahmad Murad Merican berkata, naratif mengenai Tamadun Sungai Batu wajar diperluaskan dan dipamerkan pada peringkat persekutuan, termasuk di Muzium Negara.
Menurutnya, usaha itu penting bagi membawa sejarah Tamadun Sungai Batu kepada khalayak yang lebih luas serta meningkatkan kesedaran nasional mengenai kewujudan tamadun Melayu awal dan terawal di rantau ini.
“Ini tugas kerajaan Persekutuan jika serius dalam menyebarluaskan Tamadun Melayu awal dan terawal di rantau ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook semalam.
Gesaan itu hadir ketika usaha mengembangkan Sungai Batu sebagai produk warisan dan pelancongan turut menunjukkan perkembangan. Pada September 2025, kerajaan dilaporkan merancang menaik taraf Tapak Arkeologi Sungai Batu kepada Kompleks Arkeo-Pelancongan Tamadun Sungai Batu di Kuala Muda.
Pada masa sama, penyelidikan arkeologi terus mengukuhkan kepentingan kawasan berkenaan.
Kajian akademik mengenai kompleks Sungai Batu menemukan bukti kegiatan peleburan besi, jeti sungai, pengurusan pelabuhan serta struktur ritual, manakala pentarikhan menunjukkan perkembangan kerajaan Kedah Tua di kawasan itu sejak seawal abad ke-6 Sebelum Masihi.
Penyelidikan berkenaan turut memberi gambaran bahawa Sungai Batu bukan sekadar kawasan pengeluaran besi, sebaliknya mempunyai kaitan dengan kegiatan perdagangan dan perkembangan sebuah pusat masyarakat yang lebih kompleks.
Ahmad Murad berkata, bahan pameran perlu memberi gambaran yang lebih jelas mengenai kehidupan masyarakat ketika itu, termasuk teknologi penghasilan besi, sistem nilai dan kepercayaan serta skala geografi dan tempoh perkembangan tamadun berkenaan.
Beliau turut mencadangkan agar sampel berkaitan teknologi besi seperti tuyere dipamerkan bagi membantu masyarakat memahami bagaimana besi diusahakan pada ketika itu.
Pada masa sama, beliau berpandangan platform media sosial seperti TikTok sahaja tidak mencukupi untuk mengembangkan naratif tersebut.
Katanya, penerbitan buku dan bahan lain mengenai Tamadun Sungai Batu juga perlu dipromosikan dengan lebih bersungguh-sungguh supaya masyarakat mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai skala sejarah dan geografi tamadun yang berkembang di gugusan rantau Kedah ketika itu.
Ahmad Murad turut menggesa Jabatan Muzium Negara menggerakkan dana dan strategi khusus bagi meningkatkan naratif mengenai “Tamadun Tanah Air”, selain menyeru kurator memainkan peranan lebih besar dalam menonjolkan sebuah tamadun.
“Tak perlu tunggu orang putih buat demikian barulah kita nak ikut,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya maklumat mengenai Tamadun Sungai Batu dipaparkan secara lebih meluas melalui papan tanda di seluruh negara dan rantau ini, termasuk di sepanjang lebuh raya, lapangan terbang serta kawasan lain yang mempunyai capaian awam tinggi.
Menurutnya, usaha itu tidak seharusnya hanya tertumpu di sekitar Sungai Petani dan Merbok.
Ahmad Murad menegaskan bahawa aspek penjenamaan juga penting dalam usaha mengangkat Tamadun Sungai Batu sebagai sebahagian daripada identiti sejarah negara.
“PENJENAMAAN mesti digagaskan untuk TAMADUN TANAH AIR SUNGAI BATU,” tambahnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.