
KUALA LUMPUR | 13 Mac 26 — Agenda “reset” yang diketengahkan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, dilihat selari dengan pendekatan maqasid yang menekankan tujuan lebih tinggi dalam pembinaan negara, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah.
Menurut Saifuddin, wacana reset yang dibawa Hamzah bukan sekadar strategi kelangsungan politik, sebaliknya merupakan usaha membina semula negara melalui pembetulan institusi, sistem serta budaya politik.
Beliau menjelaskan, terdapat dua tujuan utama yang digariskan oleh Hamzah dalam gagasan tersebut. Pertama, membetulkan institusi, sistem dan undang-undang negara bagi memacu kemajuan, kemakmuran serta kesejahteraan rakyat.
Kedua, membetulkan konfigurasi politik semasa dan membina budaya politik baharu ke arah demokrasi Malaysia yang lebih matang, stabil serta bersifat sederhana dalam masyarakat majmuk.
“Reset, khususnya dalam bidang politik dan ekonomi yang menjadi masalah utama negara ketika ini, bukan soal political survivalism. Ia adalah soal pembinaan bangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Saifuddin berkata, pendekatan tersebut juga berpaksikan kompas moral yang selari dengan prinsip amar makruf nahi mungkar, iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Menurut beliau, Hamzah turut merujuk beberapa petunjuk daripada al-Quran, antaranya Surah al-Furqan yang menekankan pembezaan antara kebenaran dan kebatilan, serta Surah al-Syu’ara’ yang mengisahkan perjuangan para Rasul menentang keingkaran masyarakat.
Dalam konteks itu, beliau menegaskan agenda reset perlu dilihat sebagai usaha menegakkan kebenaran dan keadilan serta memerangi kebatilan dan kesesatan dalam kehidupan bernegara.
Bagaimanapun, katanya, realiti politik semasa memperlihatkan kemerosotan nilai adab dan moral yang semakin ketara, sama ada di peringkat kerajaan mahupun parti politik.
Beliau turut mengkritik sikap segelintir pemimpin yang menggunakan bahasa kesat, memaki hamun serta menunjukkan tingkah laku tidak bermoral di hadapan khalayak.
“Apalah ertinya sebuah kerajaan atau parti politik jika pimpinannya terdiri daripada mereka yang tidak bermoral,” katanya.
Tambah beliau, lebih membimbangkan apabila perbuatan tidak bermoral termasuk skandal peribadi seolah-olah dinormalisasikan dan dianggap perkara kecil, malah individu terbabit terus diangkat sebagai pemimpin penting dalam kerajaan atau parti.
Menurut beliau lagi, matlamat akhir agenda reset adalah untuk merealisasikan konsep negara yang baik, sejahtera dan diberkati, seperti digambarkan dalam konsep baldatun toyyibatun warobbun ghofur.
Selepas pemecatannya, Hamzah dalam satu program ‘Reset’ telah mengemukakan cadangan dengan mengangkat agenda tersebut sebagai usaha meneruskan perjuangan politik, ditengah-tengah perebutan kuasa oleh pihak-pihak tertentu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.