“Kami Boleh Kembali Jika 3 Pemimpin Ini Disingkir” – Timbalan Speaker Kedah

ALOR STAR | 1 Mei 26 — Timbalan Speaker Kedah, Abdul Razak Khamis, secara terbuka mendakwa tiga pemimpin utama parti menjadi punca hilangnya hala tuju parti itu.

Beliau berkata, walaupun ramai pemimpin kini sudah tidak berminat untuk kekal bersama BERSATU, terdapat kemungkinan untuk mereka kembali, namun dengan satu syarat tegas.

“Kalau presiden, setiausaha agung dan ketua penerangan dikeluarkan, tidak mustahil ramai akan pertimbangkan untuk kembali,” katanya ketika mengulas mengenai notis Lembaga Disiplin terhadapnya.

Menurut beliau, kepimpinan tertinggi termasuk Presiden parti, Muhyiddin Yassin, dilihat gagal mengemudi parti sehingga menyebabkan keyakinan dalam kalangan pimpinan merosot.

“Mereka bertiga inilah yang merosakkan Bersatu sampai parti hilang arah,” dakwanya.

Razak turut menegaskan bahawa tindakan disiplin yang sedang dihadapi oleh beberapa pemimpin hanyalah formaliti, kerana keputusan untuk menyingkirkan mereka dari parti telah dibuat lebih awal.

“Proses memberi notis tindakan disiplin ini sekadar melengkapkan prosedur agar penyingkiran boleh dibuat, katanya.

Beliau juga mempersoalkan kewujudan Lembaga Rayuan parti, yang menurutnya penting sebagai saluran terakhir dalam kes disiplin.

“Kalau Lembaga Rayuan pun tidak jelas kewujudannya, untuk apa kita nak jawab surat tunjuk sebab?” katanya.

Dalam masa sama, beliau memberi amaran bahawa tindakan memecat pimpinan yang mempunyai sokongan di peringkat cawangan boleh melemahkan struktur parti secara keseluruhan.

Perkembangan ini dilihat memperkukuh persepsi bahawa BERSATU kini berdepan krisis keyakinan serius, dengan cabaran bukan sahaja terhadap keahlian, tetapi juga kepimpinan tertinggi parti. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share