
KUALA LUMPUR, 1 DIS 25 — Penganalisis politik, Prof. Madya Dr Malike Brahim menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) kini berada dalam kedudukan paling lemah selepas hanya memenangi satu kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 2025.
Menurut beliau, keputusan PRN yang hampir seimbang antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan menyebabkan PN tidak dapat mempengaruhi mana-mana pihak dalam usaha membentuk kerajaan negeri.
“Dengan keputusan hanya satu kerusi, PN tidak boleh mempengaruhi mana-mana pihak antara GRS dan Warisan untuk jadi sekutu dalam menubuhkan kerajaan,” katanya.
Dr Malike turut menyifatkan kemenangan calon PAS di Karambunai — satu-satunya kerusi yang dimenangi PN — sebagai tidak cukup untuk menutup kegagalan besar gabungan itu.
“PN sebenarnya telah ‘karam’ dalam PRN Sabah kali ini. Jangan terlalu memandang kemenangan yang sangat kecil itu berbanding kekalahan total calon-calon PN,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa PN perlu melakukan post mortem serta merangka pelan strategik lima tahun jika mahu kembali berperanan dalam politik Sabah.
“PAS sendiri mesti memikirkan kaedah mendekati rakyat multi-etnik di Sabah, yang banyak melihat PAS menggunakan agama dalam berpolitik dan sukar diterima dalam demografi rakyat Sabah,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.