
Isu pelantikan Ketua Hakim Negara yang sepatutnya menjadi proses profesional, tersusun dan berlandaskan prinsip perlembagaan kini berubah menjadi krisis keyakinan awam terhadap integriti institusi kehakiman negara.
Di tengah-tengah kemelut ini, nama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul sebagai tokoh utama yang wajar dipersoal, bukan kerana melanggar undang-undang, tetapi kerana gagal menunjukkan kepimpinan yang konsisten dengan aspirasi reformasi yang dicanang selama puluhan tahun.
Kemelut ini bermula dengan persaraan serentak dua jawatan tertinggi kehakiman: Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat (2 Julai 2025) dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar (3 Julai 2025).
Namun yang lebih mengejutkan bukanlah tarikh persaraan itu, tetapi ketiadaan pelan peralihan yang jelas dan ketelusan dari pihak eksekutif. Apakah PM dan Kabinet tidak menyedari proses ini? Atau sengaja berlengah atas sebab-sebab yang rakyat tidak ketahui?
Pelantikan dua tokoh sementara Hasnah Mohammed Hashim sebagai Ketua Hakim Negara sementara dan Zabariah Yusof sebagai Presiden Mahkamah Rayuan sementara, menandakan wujudnya kelompongan dalam perancangan kerajaan, terutama daripada pejabat Perdana Menteri yang bertanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pelantikan kehakiman.
Persoalan ini nampak lebih ketara apabila Istana mengeluarkan kenyataan agar proses pelantikan hakim ini tidak dipolitikkan dan dihormati. Ini mesej jelas ada sesuatu yang tidak betul sedang berlaku dalam kerajaan.
Masalah menjadi semakin parah apabila nama bekas Peguam Negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan mula dikaitkan apabila dokumen minit mesyuarat Surhanjaya Pelantikan Hakim (JAC), telah bocor.
Ini telah mengundang kontroversi bukan kerana kelayakan akademik Ahmad Terrirudin, tetapi kronologi kes dan siasatan yang sedang dihadapinya.
Di sinilah kelemahan utama Anwar Ibrahim terdedah. Selama dua dekad, beliau meletakkan dirinya sebagai tokoh reformasi — memperjuangkan kebebasan kehakiman, pemisahan kuasa, dan integriti institusi. Namun apabila kuasa berada di tangannya, beliau gagal membuktikan kebolehannya mentadbir dengan integriti.
Malah, Badan Peguam Malaysia (Bar Council) yang sebelum ini banyak menyokong agenda reformasi, kini mendesak ketelusan dan mengatur perarakan awam sebagai tanda bantahan terhadap ketidakjelasan pelantikan ini.
Kegagalan menyelesaikan isu ini secara bermaruah akan mengukuhkan persepsi bahawa Anwar tidak lebih daripada reformis retorik dan perdana menteri yang gagal.
Isu pelantikan Ketua Hakim Negara bukan sekadar soal calon atau teknikal perlembagaan. Ia adalah ujian moral dan kepimpinan Anwar Ibrahim dalam menepati janji reformasi institusi yang menjadi asas perjuangannya. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.