Pengajaran Hijrah Dan Konsensus Nasional Baru

Oleh Saifuddin Abdullah

Hijrah amat signifikan bagi umat Islam khususnya dan warga dunia amnya. Dengan perpindahan Rasulullah dari Mekah ke Madinah, maka, berlakulah reset amat mendalam lagi mengesankan. Antaranya, lahir Sahifah Madinah. Ia mengatur penyatuan umat Islam serta kehidupan harmoni penduduk pelbagai kaum dan agama di Madinah.          

Bagi kita, reset terpenting ialah kemerdekaan dan penubuhan Malaysia. Antaranya lahir Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia. Ia mengatur kehidupan rakyat pelbagai bahasa, kaum, agama, jantina dan wilayah.    

Akibat tragedi 13 Mei 1969, Tun Razak melakukan reset besar. Antaranya, lahir Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru untuk ‘menyusun semula masyarakat’ yang ‘muhibah’.    

Pengaturan masyarakat majmuk untuk menjadi bangsa Malaysia dibangunkan melalui beberapa pemikiran. Contohnya, ‘kesepaduan sosial (social cohesion): bersetuju untuk bersetuju, bersetuju untuk tidak bersetuju’ (Shamsul A.B.) dan ‘kehidupan bersama dalam budaya damai (peaceful coexistence)’ (Siddiq Fadzil).

Kini, dengan timbunan beban masalah dan bagi mendepani masa depan, Hamzah Zainudin mencadangkan reset baru, iaitu Konsensus Nasional Baru. Ia tidak terhad kepada satu kaum, agama atau wilayah.

Sebaliknya, ia menyatupadukan kelas politik, masyarakat sivil, semua pihak dan terutamanya rakyat, dengan tiga batu asas, iaitu matlamat disepakati, kemakmuran bersama dan kerajaan penyayang.

Terdahulu, saya telah membicarakan Konsensus Nasional Baru dari sudut kerangka membangunnya dengan dua komponen, iaitu Menegakkan Inklusiviti dan Menidakkan Diskriminasi. Kali ini, saya membicarakannya dari sudut pengajaran Sahifah Madinah.

Ini adalah perjuangan berkesinambungan yang dituntut Allah, iaitu “…menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah…” (al ‘Imran: 104).

Kepelbagaian adalah ketentuan Allah: “Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat…” (an Nahl: 93). Tetapi, “…Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan”. (al Hujurat: 13). Juga berbagai-bagai agama, kerana “Tidak ada paksaan dalam agama…” (al Baqarah: 256).

Untuk menguruskannya, Allah mengutuskan Rasulullah “…menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (al Anbiya’: 107) sebagai sebaik-baik teladan.  

Terhadap bukan-Islam, Allah berpesan “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah…” (al an’Am: 108).

Kita mesti adil, “…hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa…” (al Maidah: 8).

Dalam melaksanakannya, antara lain, kita perlu menghayati Politik Baru, iaitu demokrasi manhaj/metod Malaysia yang pelbagai kaum (seperti perbicaraan di atas) dan moderat (berdasarkan wasatiyyah): “…Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil…” (al Baqarah: 143), yang bermaksud kesederhanaan, justly balanced dan pertengahan/centrist.

Bersama-samalah kita menegakkan perjuangan ini dengan kebijaksanaan: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik…” (an Nahl: 125).//

Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan mantan Menteri Luar Negeri

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Kenapa Melayu Mesti Bersatu?

Ini kerana pemerintah ketika ini seakan-akan tidak mengiktiraf Melayu yang super majority untuk dijadikan paksi kepada dasar pembentukan negara (state-making), pembangunan bangsa (nation-building) dan pembangunan negara (national development).
Read More
Total
0
Share