
KUALA LUMPUR, 12 Mei — Keupayaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengemudi Asean sebagai pengerusi tahun ini mula dipersoalkan selepas seorang diplomat veteran Singapura secara terbuka mengkritik cadangannya untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) secara kolektif.
Bilahari Kausikan, bekas wakil tetap Singapura ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyifatkan idea Anwar untuk Asean mengadakan rundingan tarif secara bersama dengan Washington sebagai tidak praktikal.
“Adalah mustahil bagi Asean untuk berunding secara kolektif memandangkan perbezaan kadar tarif dan struktur ekonomi antara negara anggota,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Bilahari, yang dikenali dengan pandangan lantang dalam isu dasar luar, turut menyindir Anwar dengan mengatakan beliau mahu menonjolkan dirinya.
“Hanya Perdana Menteri Malaysia yang beranggapan sebaliknya — atau mungkin berpura-pura — kerana beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk menonjolkan diri.”
Kritikan tersebut menyusul selepas pendedahan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump menolak cadangan delegasi Malaysia yang diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, untuk mengadakan rundingan tarif secara blok bersama Asean.
Sebaliknya, Washington menegaskan ia lebih selesa meneruskan perbincangan secara dua hala dengan negara anggota secara individu.
Cadangan Anwar itu sebelum ini dilihat sebagai usaha untuk memperkukuh suara Asean di peringkat global, namun reaksi terbaru ini mencetuskan perbahasan baharu mengenai pendekatan terbaik rantau ini dalam hubungan perdagangan antarabangsa. @politiko.my