Kembalikan plak Wawasan 2020 ke tempat asalnya, kata Wan Saiful

KUALA LUMPUR, 7 JUN 25 – Plak Wawasan 2020 yang terletak di Menara Kuala Lumpur perlu dikembalikan semula ke tempatnya, tegas wakil rakyat Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Ia berikutan kenyataan pengendali baharu Menara Kuala Lumpur Lim Seong Hai Service Master Sdn Bhd (LSHSM) malam tadi mengatakan plak berkenaan disimpan atas faktor keselamatan pengunjung dan bukannya cubaan memadamkan nilai sejarahnya.

“Kembalikan plak bersejarah itu ke tempat asalnya, perbaiki apa-apa yang perlu agar lokasi itu selamat untuk pengunjung, dan pastikan artifak berharga itu diraikan sebagai warisan sejarah negara.

“Jika Lim Seong Hai Service Master Sdn Bhd dan Kementerian Komunikasi tidak bertindak segera, saya akan aturkan lawatan rakyat agar semuanya boleh melihat sendiri kerosakan ini,” katanya, dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LSHSM, Khairil Faizal Othman sebelum inj berkata plak itu dialihkan atas faktor keselamatan pelawat yang mengunjungi Menara Kuala Lumpur.

Katanya plak berkenaan juga tidak lagi sesuai untuk dipamerkan secara rasmi kerana memaparkan logo korporat lama Menara Kuala Lumpur, selaras dengan pertukaran syarikat pengurusan menara tersebut.

Jelasnya, plak itu juga tidak dimusnahkan atau dibuang seperti didakwa, sebaliknya disimpan dengan baik oleh LSHSM.

Wan Saiful bagaimanapun mendakwa plak tersebut hanya diletakkan di dalam stor.

“Lim Seong Hai Service Master Sdn Bhd dan (Menteri Komunikasi ) Datuk Fahmi Fadzil yang bertanggungjawab terhadap Menara Kuala Lumpur perlu berhenti tercari-cari alasan.

“Sudahlah nama Bahasa Melayu Menara KL tidak mahu digunakan, janganlah plak bersejarah yang mempunyai nama Tun Dr Mahathir pun hendak dibuang dalam stor buruk saja,” dakwanya lagi.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Dana NGO Untuk Politik Kini Jadi Budaya, Kata Mahasiswa PKR

“Ramai anak muda tak sedar pun apa yang mereka buat itu sebenarnya ada unsur rasuah dan politik wang. Sekarang ini ada trend besar, anak muda tubuh NGO, dan NGO ini akan bergerak bersama ahli politik tertentu. Ada dana yang masuk, dan akhirnya NGO itu digunakan untuk jalankan kerja parti.
Read More
Total
0
Share