Kenyataan AGC Bersihkan Nama Saya, Kata Tun M

KUALA LUMPUR, 4 Jun 25 – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kenyataan Pejabat Peguam Negara (AGC) berkait berkait pengampunan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membersihkan namanya daripada tuduhan tidak mengikut prosedur.

Bekas perdana menteri itu berkata, banyak pihak mempertikaikan perkara itu sejak Anwar dibebaskan melalui pengampunan diraja pada Mei 2018.

“Seingat saya, ada seorang peguam telah memfailkan saman mencabar kesahihan pengampunan Anwar selepas sahaja saya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada bulan Februari 2020.

“Anwar ketika itu cuba membatalkan saman tersebut tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi. Namun permohonannya dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan atas alasan plaintif tidak ada locus standi (hak).

“Mahkamah Persekutuan kemudiannya turut menolak rayuan plaintif kerana isu itu sudah menjadi akademik dan pengampunan dilakukan mengikut perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

AGC sebelum itu menafikan dakwaan Dr Mahathir yang mengatakan pengampunan Anwar adalah tidak sah.

Katanya, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-51 telah diadakan pada hari Rabu 16 Mei 2018, jam 11.00 pagi, di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Dr Mahathir berkata, walaupun keputusan telah dibuat, apabila timbul isu addendum di dalam titah Yang diPertuan Agong berkait dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib  Razak dan usahanya mendapatkan kelonggaran tahanan rumah, isu pengampunan Anwar kembali ditimbulkan.

Penyokong Najib katanya mempertikai kegagalan mematuhi titah Agong sedangkan pengampunan penuh Anwar dilaksanakan walaupun dianggap luar biasa.

“Sekali lagi peranan saya di dalam proses pengampunan Anwar dipertikai. Kini timbul pula isu beliau ingin mendapatkan”imuniti” (kekebalan) dari menghadapi saman sivil oleh bekas pembantunya di atas tuduhan serangan seksual.

“Bagi pengkritik Anwar, tindakannya untuk mendapatkan imuniti itu bertentangan dengan konsep keadilan negara di mana tidak ada seorang pun yang mempunyai kekebalan dari menghadapi proses undang-undang apabila dituduh melakukan kesalahan,” kata Dr Mahathir lagi. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share