
KUALA LUMPUR, 1 DIS 25 — Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menjelaskan bahawa kontroversi mengenai keberkesanan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) hanyalah “sebahagian kecil daripada masalah yang jauh lebih besar” dalam sistem komunikasi kerajaan sejak era media sosial bermula.
Dalam kenyataan videonya, Rafizi berkata fokus perbahasan umum sering tersasar kerana ia melihat J-KOM sebagai punca, sedangkan isu sebenar ialah model komunikasi kerajaan yang masih bergantung sepenuhnya kepada pembelian ruang media.
“Masalah kita bukan bermula dengan J-KOM. J-KOM cuma simptom,” tegasnya.
Rafizi turut mendedahkan hakikat yang jarang dibincangkan: kemunculan kerap menteri-menteri tertentu di televisyen dan media arus perdana biasanya bukan liputan percuma.
“Ramai tak tahu, setiap kali ada Menteri yang muka dia muncul selalu di TV & media, itu biasanya bukan ‘coverage percuma’. Ada bajet — dan yang bayar akhirnya ialah rakyat. Katanya di laman facebook, hari ini.
Beliau berkata dari zaman pentadbiran Najib Razak hinggalah ke Ismail Sabri, setiap pengumuman besar kerajaan lazimnya datang bersama peruntukan pengiklanan bernilai jutaan ringgit.
Malah, beliau menyindir fenomena influencer yang dibayar mahal untuk video pendek.
“Influencer dua minit cakap depan kamera pun boleh sampai puluh ribu.”
Rafizi berkata beliau memilih cara yang lebih murah dan telus supaya tidak membazirkan dana awam.
“Saya duduk depan iPhone, rakam sendiri, edit sendiri. Tak ada lighting crew, tak ada tujuh lapan orang ikut belakang. Yang penting ialah tak membazirkan duit rakyat.” Katanya.
Menurut Rafizi, peruntukan J-KOM berjumlah RM16 juta tidak boleh dijadikan gambaran keseluruhan masalah kerana kerajaan masih beroperasi dengan model komunikasi lama yang mahal dan tidak efisien.
“Cara kerajaan berkomunikasi masih bersandar pada model lama: beli iklan, beli ruang, beli perhatian.”
Rafizi menegaskan bahawa reformasi sebenar memerlukan rombakan total terhadap cara kerajaan berhubung dengan rakyat, bukan sekadar menukar nama agensi komunikasi dari semasa ke semasa.
“Kalau kita betul-betul nak jaga wang rakyat, kita kena berani rombak sistem — bukan sekadar tukar nama jabatan.” @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.